fbpx

Dua premis judi online warga Vietnam diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SUBANG JAYA – Taktik licik sindiket judi online yang menjadikan dua unit kediaman di Subang Avenue di sini sebagai pusat operasi kegiatan haram itu sejak tiga bulan lalu akhirnya terbongkar selepas diserbu polis hari ini.

Serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan dibantu anggota dan pegawai D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor itu bermula kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, hasil serbuan di dua premis yang terletak di tingkat enam dan 11 unit kediaman itu berjaya menahan sembilan individu warga Vietnam.

Katanya, mereka terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 21 hingga 40 tahun.

“Kesemua yang ditahan dipercayai bekerja sebagai operator di ‘call center’ berkenaan. Mereka dibayar upah antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan dan hanya ditempatkan dalam unit kediaman terbabit.

“Modus operadi mereka adalah dengan menawarkan judi online menggunakan aplikasi Facebook dan Zalo dengan menyasarkan pelanggan di Vietnam,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut Amihizam berkata, pihaknya turut merampas tujuh unit komputer, 23 unit telefon bimbit dan pelbagai peralatan untuk kegiatan judi atas talian.

Tambah beliau, serbuan itu turut disertai oleh pakar judi dan pihak forensik.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(a), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terlibat dalam penganjuran judi online.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya.

Menurut Amihizam, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam esok untuk permohonan reman.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI