fbpx

Sindiket guna bot nelayan berlesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA laluan di pinggir perairan Kuala Perlis yang dipercayai digunakan oleh sindiket penyeludup.

KUALA PERLIS – Sindiket penyeludupan dikesan sering menukar modus operandi (MO) mereka bagi mengaburi pihak berkuasa dalam melakukan ke­giatan jenayah rentas sempadan khususnya di perairan negeri Perlis dan Kedah.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, modus operandi sindiket itu juga akan berubah mengikut keadaan dan situasi.

Katanya, APMM mengesan antara modus operandi terbaharu yang digunakan oleh sindiket ini adalah menggunakan bot-bot nelayan berlesen untuk menjalankan kegiatan haram tersebut.

“Kami mendapati, bukan hanya bot-bot persendirian yang melakukan aktiviti penyeludupan di perairan negeri Kedah dan Perlis, malah bot-bot berlesen perikanan kelas A, B, BI, C dan C2 turut bersubahat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Selain itu, menurut beliau, sebilangan bot barter trade dari Thailand dan Indonesia juga disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan.

“APMM sentiasa memantau aktiviti-aktiviti bot barter trade dari negara Thailand dan ­Indonesia kerana bot tersebut disyaki dijadikan sebagai pengangkutan untuk membawa barang larangan kedua-dua negara itu.

“Bot-bot barter trade ini dipercayai akan bekerjasama dengan pemilik bot-bot tempatan de­n­gan memindahkan barang larangan yang dibawa oleh mereka ke bot-bot tempatan di tengah laut.

“Kesemua barang larangan itu kemudian akan dibawa masuk ke Malaysia,” ujarnya.

Mohd. Zawawi berkata, pihaknya akan terus melakukan rondaan dan operasi bagi mencegah kegiatan penyeludupan di perairan Kedah dan Perlis.

“Komuniti nelayan juga menjadi mata dan telinga kepada APMM terhadap sebarang akti­viti yang mencurigakan dan me­nyalahi undang-undang negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan mengenai kemungkinan penglibatan segelintir penduduk tempatan yang menjadi pemberi maklumat kepada sindiket penyeludup.

“Mereka ini akan beri maklumat berkaitan pergerakan aset-aset operasi APMM yang mana pemberi maklumat ini akan dibayar mengikut maklumat yang disalurkan atau secara bulanan dengan nilai bayaran mencecah ribuan ringgit,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan kewujudan jeti-jeti haram dan persendirian selain pangkalan nelayan yang dibina di sekitar perairan Kedah dan Perlis dikenal pasti menjadi laluan rahsia kepada sindiket penyeludup untuk menyeludup pelbagai barang larangan termasuk daun ketum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI