fbpx

JPJ sahkan 32 kakitangannya ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pegawai JPJ dan orang awam yang ditahan SPRM melalui operasi Ops Sukat yang dilakukan di lima negeri.

PETALING JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia hari ini mengesahkan seramai 32 orang pegawainya ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan rasuah berjumlah RM1.64 juta.

Kesemua mereka ditahan menerusi Op Sukat semalam di lima buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka bagi membantu siasatan.

Ibu Pejabat JPJ Putrajaya menerusi satu kenyataan berkata, tindakan penahanan ini merupakan hasil kolaboratif rapat antara pihak JPJ dan SPRM.

“Langkah ini dibuat bagi memastikan jabatan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa dan gejala rasuah yang mengakibatkan ketirisan kepada hasil negara.

“Inisiatif ini tidak akan berhasil sekiranya tidak mendapat kerjasama padu daripada semua pihak terutamanya dalam kalangan warga kerja JPJ sendiri,” ujarnya hari ini.

Terdahulu, seramai 44 individu terdiri daripada 32 pegawai JPJ antara yang ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan serta tidak memenuhi aspek teknikal.

Kegiatan yang dilakukan sejak 2019 sehingga tahun lalu itu terbongkar selepas kesemua mereka dipercayai menerima suapan keseluruhan bernilai RM1.64 juta.

Jelasnya, pengurusan tertinggi Jabatan juga merakamkan ucapan penghargaan kepada sebahagian besar warga kerja JPJ yang sentiasa istiqamah di dalam menegakkan aspek integriti ketika
menjalankan tugasan rutin.

“Pengurusan tertinggi Jabatan berharap agar tindakan sebegini akan menjadi satu manifestasi bahawa jabatan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik jabatan dari aspek integriti.

“JPJ sentiasa komited di dalam meneruskan kerjasama padu dengan pihak SPRM agar langkah pematuhan dan ketelusan dalam proses kerja jabatan dapat dinobatkan demi mengelak daripada berlakunya sebarang kegiatan yang tidak bermoral seumpama ini,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI