fbpx

UniKL Ladies berstatus pilihan utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
- UNIKL Ladies menjadi antara pasukan yang perlu diberi perhatian selepas beberapa tonggak pasukan kebangsaan beraksi bersama pasukan itu.

 

BIARPUN berstatus pendatang baharu, namun ia sama sekali tidak menjadi halangan utama buat Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Ladies yang menyasarkan untuk memburu kejuaraan berganda pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) Wanita musim ini.

Ia bukan satu keyakinan tidak berasas kerana UniKL Ladies dilihat mempunyai skuad yang mampu mencabar dan menjadi pilihan utama seperti pendatang baharu musim lalu, Hockademy Kuala Lumpur (KL) yang tidak beraksi tahun ini.

Ketiadaan Hockademy KL membolehkan UniKL Ladies merekrut beberapa tonggak bekas juara liga musim lalu itu antaranya dua penyerang skuad kebangsaan, Hanis Nadiah Onn dan Nuramirah Syakirah Zulkifli serta pakar flick, Nuraini Abdul Rashid.

Bukan itu sahaja, bekas kapten Malaysian Tigress yang sudah mengumumkan persaraan di peringkat antarabangsa tahun lalu, Siti Noor Amarina Ruhani juga memperkuatkan UniKL Ladies musim ini.

Lebih menarik adalah UniKL Ladies memberikan tanggungjawab jawatan ketua jurulatih kepada Roslan Jamaluddin iaitu bekas penjaga gol berpengalaman skuad negara yang kini merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan pasukan wanita kebangsaan.

Kehadiran Roslan dan tujuh pemain kebangsaan termasuk Hanis, Nuramirah dan Nuraini pastinya memberikan gambaran UniKL Ladies mampu menjadi pencabar utama memburu trofi MHL dan Piala Vivian May Soars musim ini.

“Walaupun kami adalah pasukan baharu tetapi saya yakin dengan kebolehan para pemain untuk cuba memenangi salah satu daripada dua kejuaraan musim ini,” kata Roslan.

UniKL Ladies yang sudah mendaftar masuk ke ‘gelembung sukan’ MHL di Hotel Pullman, Bangsar semalam, akan memulakan saingan liga menentang Mutiara Juniors PSHA di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN