fbpx

Permohonan biasiswa Yang di-Pertuan Agong dibuka hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Permohonan bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) tahun 2021 untuk peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di dalam dan luar negara akan dibuka bermula 5 petang ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini berkata, permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my.

JPA berkata, tarikh akhir bagi mengemukakan borang permohonan lengkap berserta dokumen-dokumen sokongan adalah pada 9 April depan sama ada secara serahan tangan atau pos.

“BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam untuk pengajian di peringkat sarjana dan enam untuk pengajian di peringkat PhD di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.

“Bidang pengajian di bawah penajaan BYDPA ialah Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam,” katanya hari ini.

Menurut JPA, keutamaan diberikan kepada calon yang mendapat keputusan akademik amat cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) minimum 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana.

“Calon yang menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya turut diberikan keutamaan.

“Turut diberikan keutamaan ialah calon yang telah mendapat tawaran pengajian secara sepenuh masa atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penajaan.

Katanya, syarat kelayakan lain ialah warganegara Malaysia dan berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari lalu.

“Calon yang memenuhi syarat permohonan serta melepasi saringan lanjut akan disenarai pendek untuk menghadiri temu duga,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai penawaran itu boleh dilayari di portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03 – 8885 3879 / 3569 pada setiap hari bekerja mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang atau emel kepada [email protected]. K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI