fbpx

Martabatkan kembali era kegemilangan bola jaring

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALWIYAH (tengah) dengan Noor Hazah (dua dari kanan) dan Zainon (dua dari kiri) bergambar bersama atlet bola jaring kebangsaan, Nur Firra Syuhada Hasrin (kanan) dan Nur Syafazliyana Mohd. Ali pada Majlis Undian NSL 2021 di Stadium Juara Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam. – MOHD FARIZWAN HASBULLAH

 

PERSATUAN Bola Jaring Malaysia (PBJM) yakin penganjuran kejuaraan edisi sulung Netball Super League (NSL) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 19 Mac ini bakal mengembalikan era kegemilangan sukan tersebut di Malaysia.

Presiden PBJM, Alwiyah Talib berkata, dengan berlangsungnya kejohanan tersebut, secara tidak langsung akan dapat menyaksikan kelahiran bakat-bakat muda baharu dan boleh diketengahkan dalam kejohanan kompetitif se­perti NSL.

“PBJM berharap dengan kembali era Netball Super League ini kita akan dapat menarik lebih ramai lagi pemain-pemain berbakat di luar sana untuk diketengahkan pada kejohanan yang kompetitif seperti ini.

“Mungkin sebelum ini mereka tidak tahu bagaimana untuk mewakili negeri dalam sukan bola jaring. Saya yakin, ramai pemain-pemain bakat negara mampu dicungkil pada saingan NSL.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sememangnya menyokong sukan ini dan terdapat pusat latihan di negeri-negeri dalam sukan ini. Jika sukan ini berjaya diangkat dan dimartabatkan, pastinya akan menarik pemain-pemain remaja tampil untuk menyertainya kerana sukan ini boleh dimainkan di peringkat akar umbi,” katanya pada Majlis Undian NSL 2021 di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Hadir sama Timbalan Pre­siden PBJM, Tengku Datin Seri Noor Hazah Al Hajah Tengku Abdul Aziz Shah dan Setiausaha Kehormat PBJM, Zainon Md. Noh.

Alwiyah turut menegaskan, saingan NSL akan berlangsung selama sebulan dan menggunakan pendekatan sistem gelembung sukan yang ditetapkan serta setiap pemain akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum kejohanan bermula.

“NSL juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Ke­selamatan Negara (MKN). Kele­bihan kejohanan NSL 2021 ini adalah perlawanan akan hanya diadakan pada hujung minggu.

“Semua pemain yang terlibat akan menginap di hotel sekitar Kuala Lumpur dan mereka juga dijemput kenderaan khas dari tempat penginapan ke Stadium Juara,” ujarnya.

Sebanyak lapan pasukan mengesahkan penyertaan pada NSL 2021 iaitu KL Wildcats, Johor Jewels, Selangor Angels, Pahang Tulips, Negeri Sembilan Venom, Perak Phoenix, Kedah Sunshine dan Melaka Mystic.

Pada sesi undian semalam, KL Wildcats dijangka berdepan laluan mudah selepas diundi dalam Kumpulan A bersama Perak Phoenix, Melaka Mystic dan Kedah Sunshine.

Bagaimanapun, Selangor Angels boleh dikatakan berdepan laluan berliku selepas diundi dalam kumpulan maut iaitu Kumpulan B bersama Johor Je­wels, Pahang Tulips dan Negeri Sembilan Venom.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI