fbpx
VINCENT mempamerkan slogan Visit Malaysia pada jersi kelab pasukan Cardiff City FC.

K2

Hartawan negara miliki kelab Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMPUAN dan kebijaksanaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengemudi pasukan bola sepak tidak boleh disangkal lagi oleh mana-mana pihak sama ada kawan atau lawan.

Buktinya, baginda telah berjaya membawa kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada skuad belasahan kepada pasukan digeruni di Malaysia dan Asia Tenggara.

Hasil sentuhan Tunku Ismail, JDT berjaya meraih 17 kejuaraan dalam tempoh lapan tahun termasuk tujuh kali Liga Super Malaysia (MSL) serta satu Piala AFC pada tahun 2015.

Dengan kebolehan itu, tidak mustahil Tunku Ismail mampu membawa perubahan kepada kelab Sepanyol, Valencia sekiranya berjaya mengambil alih pasukan berkenaan.

Berita pengambilan kelab berkenaan mula bertiup kencang selepas Tunku Ismail memberi bayangan untuk mengambil alih kelab yang pernah merangkul kejuaraan La Liga sebanyak enam kali itu.

Ia susulan beberapa perkongsian baginda menerusi Instagram miliknya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang memuatkan beberapa statistik menarik Valencia seperti nilai semasa kelab selain kejayaan pernah dikecapi.

 

TUNKU ISMAIL memberikan bayangan bahawa baginda ingin mengambil alih kelab Sepanyol, Valencia yang pernah merangkul kejuaraan La Liga sebanyak enam kali.

 

Ketika ini, persembahan kelab milik jutawan Singapura, Peter Lim itu agak terumbang-ambing apabila hanya menduduki tangga ke-14 dalam liga utama Sepanyol.

“Pertama, saya bukan ahli perniagaan, saya seorang putera raja. Kedua, bukan wang yang memotivasikan saya, kegemilangan dan mencipta sejarah yang memotivasikan saya.

“Ketiga, bukan lagi rahsia saya amat cintakan dan meminati bola sepak. Keempat, saya bukan baharu dalam bola sepak.

“Saya telah membawa JDT daripada bergelut dengan penyingkiran kepada pasukan mendominasi kejuaraan. Saya mahu kembangkan lagi empayar, melebarkan sayap dan menempuh cabaran baharu,” tulis Tunku Ismail.

Kemungkinan berlaku pengambilalihan itu tidak mustahil sekiranya mengambil kira hubungan baik Tunku Ismail dengan Lim yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Media Sepanyol mendakwa pengambilalihan Valencia adalah bernilai sekitar 408 juta euro (RM1.9 bilion) dengan pasukan itu kini sedang bergelut dengan hanya dibezakan lima mata dari zon penyingkiran.

Sekiranya proses pengambilalihan Valencia menjadi kenyataan, baginda akan mengikut jejak beberapa lagi jutawan negara yang berjaya memiliki kelab bola sepak di Eropah.

Salah seorang ahli perniagaan paling berjaya di negara ini ialah Tan Sri Vincent Tan yang merupakan pemilik Cardiff City FC.

Beliau mula membeli 30 peratus saham kelab berpangkalan di Wales itu pada Mei 2010 dengan nilai sekitar £6 juta (RM33.83 juta).

Ketika ini, pengasas Berjaya Group itu merupakan pemegang saham majoriti Cardiff City dengan 82 peratus setelah memperolehnya daripada pengarah lain.

Selepas lebih sedekad bersama kelab yang terkenal dengan jolokan The Bluebird itu pelbagai kejayaan telah dikecapi Vincent.

Salah satu kejayaan terbesar beliau sepanjang menjadi pemilik kelab adalah mengurangkan hutang sebanyak £70 juta (RM381 juta) pada tahun 2016.

Pada tahun berikutnya, Cardiff City menjadi kelab bebas hutang buat pertama kalinya sejak Vincent mengambil alih.

Pengerusi kelab, Mehmet Dalman turut mengakui kepada media Wales bahawa kantung kelab kekal stabil sewaktu krisis pandemik Covid-19 disebabkan pengaruh Vincent.

Dalman memberitahu portal Wales Online bahawa duit daripada Vincent telah menyelamatkan kelab apabila stadium tidak boleh dihadiri penyokong ketika ini.

Sepanjang menjadi pemilik, beliau telah berjaya membantu kelab melayakkan diri ke EPL bagi tahun 2013/2014 dan 2018/2019.

Vincent sendiri merasakan impiannya untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia menerusi bola sepak telah menjadi kenyataan.

Beliau juga sangat berbangga dan memberi keutamaan untuk meletakkan slogan Visit Malaysia pada bahagian depan jersi pasukan sebagai tanda cintakan tanah air.
Selain mengecapi kejayaan, Vincent juga terpaksa melalui pelbagai liku menguruskan sebuah kelab di EPL.

“Pada tahun pertama, saya banyak melakukan kesalahan, namun kami banyak belajar daripada kesilapan berkenaan.

“Saya pernah ditipu oleh ejen pemain dan pengurus sendiri. Saya kehilangan berjuta-juta ringgit. Ia membuatkan saya jadi lebih berhati-hati sebelum mengecapi kejayaan,” katanya.

Justeru, tidak hairanlah Vincent tersenarai dalam buku The Bilionaire Club karya James Montague yang menyebut Vincent telah membelanjakan hampir £140 juta (RM792 juta) untuk Cardiff City.

Vincent turut memiliki kelab Belgium, KV Kortrijk (KVK) pada tahun 2015 dan kelab Bosnia, FC Sarajevo pada tahun 2013. Beliau juga membeli saham pasukan kelab Amerika Syarikat, Los Angeles FC.

Bagaimanapun, Vincent telah menjual FC Sarajevo kerana ingin memberi tumpuan kepada Cardiff City dan KVK. Beliau melihat kelab-kelab itu sebagai pintu masuk buat pemain tempatan ke Eropah.

“Saya seorang yang sukakan cabaran secara berterusan. Saya menjual kelab FC Sarajevo pada tahun 2019 kepada jutawan Vietnam. Sekarang, tumpuan saya Cardiff City FC dan KVK,” katanya.

Berbeza pula dengan usahawan pemilik syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, Tony Fernandes yang memilih untuk memiliki kelab EPL, Queens Park Rangers (QPR).

Beliau berjaya menguasai kelab berkenaan selepas membeli 66 peratus saham pada Ogos 2011. Pemilik Tune Group itu juga telah membayar bekas pemilik kelab yang juga ahli perniagaan Itali, Flavio Briatore dan supremo Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone kira-kira AS$58 juta (RM236.29 juta).

“Saya tinggal di Uxbridge Road selama bertahun-tahun dan dibesarkan di kawasan itu. Semua orang tahu saya adalah peminat pasukan West Ham, namun QPR sentiasa ada tempat dalam hati saya.

 

TONY berikrar bahawa beliau tidak akan sama sekali menjual QPR.

 

“QPR antara pasukan pertama yang saya tonton semasa kecil di Loftus Road. Saya mempunyai cita-cita jangka panjang di sini,” ujarnya selepas berjaya mengambil alih kelab.

Beliau telah melabur sejumlah wang untuk mendapatkan beberapa pemain terkemuka serta pengurus berpengalaman selepas QPR berjaya kembali ke EPL pada tahun 2011.

Bagi membantu kelab, Fernandes berjaya mendapatkan pengurus berpengalaman, Mark Hughes serta beberapa pemain bintang seperti Park Ji-sung, Shawn Wright-Phillips dan Djibril Cisse.1

Selepas beberapa tahun, Fernandes menyatakan bahawa dia telah banyak kehilangan wang dan masa, namun sama sekali tidak akan menjual QPR.

Seorang lagi jutawan minyak dan berlian negara, Datuk Dr. Noordin Ahmad lebih selesa menjadi pemilik pasukan kelab dari Itali iaitu Bari FC 1908 pada April 2016.

 

NOORDIN pernah memiliki kelab Itali, Bari FC 1908.

Noordin menjadi pemegang saham majoriti dengan 50 peratus, Presiden Bari FC 1908, Gianluca Paparesta (45 peratus) manakala Cosmo Giancaspro (5 peratus).

Kelab dengan jolokan Biancorossi ketika itu beraksi di Serie B dan beliau berharap dapat membantu pasukan kembali bersaing dalam liga elit negara tersebut, Serie A.

Pada Januari 2018, pemain-pemain mengadu gaji mereka tak dibayar dan kelab didenda oleh kerajaan kerana gagal melangsaikan cukai. Selang beberapa bulan, kelab turut dipotong bekalan air kerana gagal membayar bil air yang tertunggak beberapa bulan.

Pada pertengahan Julai 2018, kelab tersebut akhirnya diisytihar muflis dengan semua pemain dilepaskan untuk menjadi ejen bebas.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN