fbpx

Bekas eksekutif sumber manusia tuntut gaji palsu dipenjara, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Aishah (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu untuk menuntut gaji empat tahun lepas. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Seorang bekas eksekutif sumber manusia dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM79,900.75 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas lima pertuduhan mengemukakan dokumen palsu untuk menuntut gaji, empat tahun lalu.

Tertuduh, Siti Aishah Mohamad Amir, 31, juga berdepan hukuman penjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu diputuskan setelah Siti Aishah mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut kertas pertuduhan, Siti Aishah yang bertugas di Hovid Berhad bersama seorang lagi yang telah dituduh, Mohd. Iqbal Fakhruddin Roslan, 31, dengan niat bersama telah memperdayakan majikan dengan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu.

Butiran palsu itu merupakan nombor akaun bank atas nama Siti Aishah bagi menuntut gaji pekerja yang telah pun berhenti berjumlah RM14,646.40.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Hovid Berhad di Jalan Kuala Kangsar di Ipoh antara 29 Jun 2018 hingga 29 Mac 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Bagi pertuduhan tersebut, wanita itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohammad Redzuan Mohamed Yusoff.

Terdahulu, pada prosiding berkenaan, wanita terbabit mengaku bersalah bagi lima pertuduhan manakala dilepaskan dan dibebaskan bagi sembilan pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Kosmo! pada 25 Februari lalu melaporkan, Mohd. Iqbal yang juga suami kepada Siti Aisyah didakwa di Mahkamah Sesyen sama atas 25 pertuduhan bersubahat mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut gaji berjumlah RM263,810.85.

Anggota polis berpangkat lans koperal dan kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI