fbpx

Negeri Sembilan sasar kemasukan pelaburan RM10 bilion tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD Rafie Ab Malek (dua dari kiri) menunjukkan grafik jumlah prestasi pelaburan Negeri Sembilan pada tahun 2020 dalam sidang akhbar di Port Dickson hari ini.

PORT DICKSON – Kerajaan Negeri Sembilan optimis untuk mencapai sasaran pelaburan RM10 bilion pada tahun ini walaupuun dalam keadaan pandemik Covid-19 yang melemahkah sektor ekonomi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, tahun 2021 akan menjadi tahun yang mencabar bukan sahaja kepada Negeri Sembilan tetapi juga kepada negeri-negeri lain bagi menarik kehadiran pelabur termasuk dari luar negara.

“Secara jujur, kita akan mengalami masalah berat dan mencabar pada tahun 2021 kerana tahun lepas kita ada masalah pandemik Covid-19 yang bermula Mac dan ia berterusan. Tahun 2020 kita tidak boleh buat banyak dan tahun ini ia akan beri kesan yang besar.

“Kita hendak menyasarkan RM10 bilion tapi ia tidak mudah, kita mahu cuba juga untuk mencapainya sebab itu dalam perancangan kita pada tahun ini untuk buka ruang pelaburan baharu termasuk membuka kawasan perindustrian baharu dan insentif-insentif khusus kepada pelabur berpotensi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkenaan Prestasi Pelaburan Negeri Sembilan 2020 di sini hari ini.

Menurut Mohamad Rafie, Negeri Sembilan telah mencatatkan rekod pelaburan cemerlang apabila mencapai jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM7.93 bilion dengan RM3.83 bilion daripadanya merupakan pelaburan asing walaupun tahun 2020 juga merupakan tahun mencabar dari segi politik, sosial dan ekonomi.

“Jika dilihat secara khusus kepada pelaburan bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan terpilih yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Negeri Sembilan mencatatkan sejumlah RM6.3 bilion iaitu terbaik pernah dicatatkan. Daripada jumlah tersebut, pelaburan dalam sektor pembuatan iaitu RM6.18 bilion merupakan tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Kerajaan Negeri Sembilan amat berbesar hati dengan pencapaian ini dan segala usaha yang dilakukan bagi merealisasikan sasaran RM5 bilion yang ditetapkan bagi tahun 2020 sebelum ini berjaya dicapai dengan amat baik sekali. Angka ini menempatkan Negeri Sembilan berada pada kedudukan keenam terbaik antara negeri-negeri di Malaysia,” katanya.

Jelas beliau lagi, walaupun tahun 2020, negara juga terkesan dengan penularan pandemik Covid-19, namun jumlah pelaburan yang berjaya dicapai tersebut adalah hasil daripada perancangan pada tahun 2019.

“Untuk 2020 tersebut, usaha telah dibuat awal, kita mulakan pada 2019 dengan misi ke luar negara untuk menarik pelaburan dan kita berjaya menarik pelabur-pelabur ini datang,” katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NS Invest, Najmudin Sarimon, Ketua Pegawai Eksekutif NS Corp, Ab Rahim Rahman, Pengarah MIDA Negeri Sembilan, Zetty Hamimi Zakaria dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) negeri, Pardon Munawar. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI