fbpx

Lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki ditahan yang disyaki terlibat dalam kejadian bunuh warga emas di sebuah inap desa, Jalan Pinang, Taman Kota Kulai, petang semalam.

Suspek berusia 35 itu ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di kawasan perumahan yang sama dianggarkan pukul 4.15 petang, kira-kira 20 minit selepas panggilan kecemasan diterima.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.55 petang daripada seorang lelaki memberitahu terdapat satu pergaduhan bersenjatakan pisau di sebuah homestay.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian menjumpai mangsa dalam keadaan terbaring dengan beberapa kesan kecederaan.

Tambahnya, hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah mengamuk dan bertindak menikam mangsa menggunakan sebilah pisau.

“Bertindak di atas maklumat, pihak polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat kes ini ketika sedang duduk di kaki lima kedai di Jalan Pinang 1, taman yang sama.

“Susulan penahanan tersebut, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beng Yeow berkata, pegawai dan anggota Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor turut hadir di tempat kejadian bagi membantu siasatan.

Katanya, pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan akibat ditikam di bahagian perut.

Tambahnya, polis turut mengambil rakaman kamera litar tertutup inap desa berkenaan bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan yang dibuat mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah. Suspek juga dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

“Punca kejadian masih dalam siasatan. Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan dijalankan,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI