fbpx

Kerajaan terima aduan masalah bekalan air di Baling, Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim (kiri) membuka paip air dan diperhatikan Wakiman Sarno dalam Majlis Penyerahan Projek Pertama Wakaf Air Kepada Penduduk Kampung Melayu Seelong, Senai, Johor Bahru di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Hanya satu aduan masalah ketiadaan air diterima pihak kerajaan dalam tempoh cuaca panas ketika ini melibatkan kawasan di Baling, Kedah.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu sedang dipantau pihaknya dan langkah bersesuaian akan diambil.

“Kita dapat sedikit aduan daripada penduduk di kawasan utara di Baling, Kedah yang tidak menerima bekalan air.

“Syarikat air negeri Kedah, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) akan salurkan air segera kepada penduduk melalui lori tangki yang dihantar terus ke kediaman penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan sempena Majlis Penyerahan Projek Pertama Wakaf Air kepada penduduk di Kampung Melayu, Seelong, Senai, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, setakat ini pihaknya belum menerima aduan daripada kawasan lain namun syarikat air negeri sentiasa memantau dan memastikan bekalan air dihantar kepada penduduk.

Jelasnya, kerajaan akan terus memantau situasi cuaca panas yang berlaku bulan ini selain turut memantau punca-punca air serta empangan.

“Kita ada beberapa pelan kontigensi untuk mengatasi masalah ini, termasuklah membangunkan beberapa lagi Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di seluruh negara sebagai satu pelan kontigensi sekiranya berlaku musim panas.

“Fokus kita adalah untuk membina di kawasan berhampiran dengan Loji Rawatan Air supaya kos rawatan air itu lebih jimat berbanding ambil terus dari sungai.

“Sebenarnya negara kita tidak mempunyai masalah bekalan air, cuma apabila situasi seperti banjir ia perlu ditakung, jadi untuk masa depan kita akan memperbanyakkan TAPS,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI