fbpx
Beberapa ekor ikan ditemui mati dan terapung di Sungai Kulim dekat Ara Kuda, Tasek Gelugor Jumaat lalu.

Ikan mati kerana mabuk oksigen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Fenomena ikan mabuk dipercayai menjadi punca kematian beberapa ekor ikan yang dikesan di Sungai Kulim berdekatan Kampung Tun Sardon, Ara Kuda, Tasek Gelugor di sini pada Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, siasatan pihaknya mendapati punca kejadian bukan disebabkan oleh pencemaran industri.

Beliau berkata, pihaknya telah melakukan siasatan dari lokasi kejadian di sungai itu sehingga ke sempadan Kulim, Kedah sebelum mengetahui punca kejadian berkenaan.

“Sampel air sungai diambil di tiga lokasi untuk dianalisis selain pemantauan melalui dron di sekitar lokasi kejadian.

“Siasatan di hulu sehingga memasuki sempadan Kulim turut menemui ikan mati yang terapung di kawasan Kedah dan kita memerlukan penyertaan JAS Cawangan Kulim.

“Siasatan mendapati, tiada punca industri yang berpotensi mencemar sungai ini dan kita mendapati kandungan oksigen terlarut turun mendadak iaitu selari dengan peningkatan kandungan pepejal terampai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, peningkatan pepejal terampai tersebut berkemungkinan disebabkan oleh hujan lebat di hulu sungai yang meningkatkan air larian permukaan di kawasan hulu.

“Ia berkemungkinan memberi impak kepada spesis ikan yang sensitif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, pihaknya menerima aduan apabila orang awam di Kampung Tun Sardon mendakwa melihat ikan mati dan terapung di dalam sungai itu kira-kira pukul 5.45 petang pada Jumaat lalu.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berhubung kes-kes pencemaran boleh menghubungi pihaknya di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di [email protected] – K! ONLINE