fbpx

Dua syarikat cuai didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Dua buah syarikat masing-masing didenda RM30,000 dan RM20,000 kerana gagal menyediakan persekitaran kerja yang praktik dan selamat sehingga mengakibatkan kecederaan dan kematian kepada pekerja di premis mereka.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor berkata, kedua-dua syarikat itu dijatuhkan hukuman tersebut oleh Mahkamah Sesyen di sini, dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman berkenaan kepada syarikat Lotte Ube Synthetic Rubber Sdn. Bhd. dan syarikat Muara Atur (M) Sdn. Bhd.

Lotte Ube Synthetic Rubber Sdn. Bhd. dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 kerana gagal mengenal pasti bahaya dan mentaksir risiko dengan lengkap aktiviti ‘steaming’ jentera.

Kegagalan itu mendatangkan kecederaan kepada pekerja-pekerja kontraktor akibat letupan dan kebakaran dalam satu kejadian pada 8 Disember 2019.

Sementara itu, syarikat Muara Atur (M) Sdn. Bhd. pula dikenakan denda sebanyak RM20,000 kerana gagal menyediakan pengadang yang kukuh dan selamat di tepian terbuka bangunan yang sedang dibina.

Akibat kegagalan itu, seorang pekerja subkontraktor maut setelah terjatuh dari tingkat tiga semasa sedang melakukan kerja-kerja pembuangan sampah.

Kedua-dua syarikat itu dikenakan hukuman tersebut mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Johor, Khairul Amin Mohd. Sarmin, Wan Siti Nurfatin Wan Mohd. Ghazali, Mohd. Izharkhairi Mohd. Yusof dan Mohd. Zakuan Fauzi.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI