fbpx

Pemilik motosikal dinaiki pelajar biadab dikenakan tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang memaparkan tiga orang pelajar yang menunggang dua buah motosikal dengan baju mereka diconteng kata-kata kesat yang tular di media sosial baru-baru ini.

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik motosikal yang dinaiki oleh pelajar yang tidak memakai topi keledar sehingga kejadian itu tular di media sosial baru-baru ini.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, JPJ telah mengeluarkan notis siasatan di bawah seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik motosikal tersebut.

Katanya, pelajar itu boleh didakwa di bawah kaedah 4 Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 atas kesalahan menunggang dan membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar.

“Selain itu, kita juga mengesan kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi dan tindakan boleh dijalankan mengikut Kaedah 6,Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.

“Semua kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda sebanyak RM2,000 hingga RM4,000 atau penjara selama dua hingga enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, tular gambar tiga pelajar lelaki dipercayai selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menaiki dua buah motosikal dengan salah seorang daripada mereka tidak memakai topi keledar.

Paling biadab, penunggang dan pembonceng yang menaiki dua buah motosikal berasingan menconteng belakang baju sekolah mereka dengan kata-kata kesat memaki hamun guru.

Selain tidak memakai topi keledar, salah sebuah motosikal yang dinaiki pelajar itu juga didapati mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi iaitu menggunakan nombor yang sangat kecil.

Mengulas lanjut, menurut Hanif Yusabra, pihaknya memandang serius isu-isu keselamatan jalan raya dan menasihatkan supaya ibu bapa agar memantau anak-anak agar tidak terjerumus dengan aktiviti yang tidak sihat.

Katanya, JPJ juga menasihatkan kepada masyarakat supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas yang ditetapkan supaya tidak membahayakan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI