fbpx

‘Lubuk emas’ di Pekan Kuala Pilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai beratur menunggu giliran untuk membeli emas di salah sebuah kedai di Pekan Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam.

KUALA PILAH – Berpusu-pusu beli emas malah ada yang sanggup beratur hampir empat jam.

Itu situasi di Pekan Kuala Pilah selepas aktiviti merentas daerah dibenarkan kerajaan selain harga emas yang murah sekitar RM210 segram menjadikan lokasi tersebut sesak sejak semalam.

Tinjauan Kosmo! Ahad ke lokasi yang dikatakan ‘lubuk emas’ itu mendapati, pelanggan yang datang membeli tidak terhad kepada penduduk di daerah berkenaan, bahkan terdapat penduduk dari luar termasuk Seremban.

Mereka mula mengunjungi kedai emas sejak pukul 9 pagi dan ada antara mereka terpaksa beratur hampir empat jam.

Terdapat kira-kira tujuh buah kedai di pekan tersebut dan rata-ratanya menerima hampir 100 pelanggan. Malah ada kedai yang terpaksa ‘menolak’ pelanggan seawal pukul 3 petang susulan giliran yang menunggu mencecah lebih 30 orang.

Menurut seorang pekerja sambilan yang hanya ingin dikenali sebagai Amir, 30-an, senario se­perti itu merupakan situasi biasa di Pekan Kuala Pilah terutama semasa harga emas murah.

“Disebabkan terlalu ramai yang datang sejak harga emas turun seminggu lalu dan hari ini (semalam) sahaja sudah hampir 100 nombor giliran dikeluarkan.

“Ikutkan, orang ramai suka datang membeli emas di sini sebab harga yang murah kerana kami tidak terikat dengan persatuan, selain upah yang berpatutan mengikut reka bentuk pilihan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

SUASANA di hadapan salah sebuah kedai emas di Pekan Kuala Pilah yang mula dikunjungi peminat emas seawal pukul 9 pagi.

Bagi seorang pembeli yang hanya ingin dikenali sebagai Salmah, 50-an, kebenaran merentas daerah membuatkan dia dan anaknya dari Seremban sanggup turun ke Kuala Pilah untuk membeli barangan kemas.

Menurutnya, dia tiba kira-kira pukul 12 tengah hari dan sehingga pukul 3 petang masih menunggu giliran untuk masuk ke kedai.

Ujarnya, perkara pertama yang dibuat mereka dua beranak ialah mendapatkan nombor giliran terlebih dahulu dan membuat tinjauan harga emas.

“Mak cik tanya orang yang beratur di luar kedai, ada kedai RM213 segram, ada yang RM212 dan yang paling murah RM210. Jadi, kami letak nama di kedai paling murah.

Sementara itu, seorang yang ingin dikenali sebagai Ila, 30-an berkata, dia terpaksa pulang dengan hampa apabila nombor giliran habis di kedai yang menawarkan harga emas serendah RM210.

Dia yang datang dari Tampin, dinasihatkan untuk datang awal keesokan harinya bagi menge­lakkan nombor giliran habis atau terpaksa beratur lebih lama.

“Hari ini tak dapat beli, saya tidak berputus asa dan akan datang semula ke sini kerana harga emas segram yang murah dan reka bentuk emas yang terkini ditawarkan pekedai sangat menarik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI