fbpx
IZAH mendapati anak bongsunya bermain congkak seorang di tingkat atas rumahnya pada satu awal pagi. – gambar hiasan

Jelmaan nenek ajak bermain congkak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIKURNIAKAN cahaya mata ketiga ternyata mengembirakan seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Izah dan suaminya.

Cahaya matanya itu kemudian diberi nama Nabilah.
Berbeza daripada abang dan kakaknya, sewaktu dalam pantang Nabilah sering menangis terutama menjelang masuk waktu maghrib.

“Saya amat risau pada ketika itu dan kami pergi berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut. Namun kami dimaklumkan oleh doktor bahawa anak kami sihat dan tiada sebarang masalah kesihatan.

“Selain itu, kami juga turut mendapatkan rawatan secara tradisional. Ada yang mengatakan bahawa mungkin anak saya dikurniakan dengan hijab terbuka dan dia mampu melihat makhluk halus yang orang lain tidak dapat tengok dengan mata kasar,” kata Izah.

Pada mulanya sukar untuk dia mempercayai semua itu kerana perkara itu tidak berlaku kepada abang dan kakak Nabilah sebelum ini.

Tetapi setelah usia Nabilah mula mencapai setahun lebih, Izah mula melihat perubahan yang berlaku pada anaknya itu.

“Kadangkala saya meninggalkannya bersendirian di ruang tamu untuk melakukan kerja-kerja rumah.

“Ada ketikanya saya mendengar dia ketawa bersendirian seperti ada orang lain bermain dengannya,” katanya.

Tambahnya, dia juga sering melihat anaknya suka tersenyum setiap kali memandang bahagian atas almari yang ada dalam rumah mereka.

Pada ketika itu, anaknya masih belum mampu berbicara dan sukar untuk Izah bertanyakan sebarang soalan kepadanya.

Memasuki umur dua tahun lebih, anaknya itu mula sukar tidur malam dan kadangkala ketika mereka semua tertidur dia masih belum melelapkan mata.

Pada suatu malam, kira-kira pukul 2 pagi, Izah tersedar daripada tidur dan mendapati anaknya itu tidak ada di dalam bilik bersama mereka.

“Saya keluar mencarinya dan terdengar seperti ada orang sedang bermain congkak di bilik atas yang dijadikan tempat penyimpanan barang.

“Saya naik dan masuk ke dalam bilik itu dan melihat Nabilah sedang bermain congkak berseorangan.
Saya sendiri hairan kerana congkak itu sudah lama dibiarkan di dalam bilik itu dan bagaimana dia boleh bersendirian untuk bermain di situ,” katanya.

Tambahnya, tanpa melengahkan masa dia mengambil anaknya dan membawanya turun ke bilik mereka.
Keesokan harinya, Izah bertanya kepada anaknya itu kenapa dia naik ke bilik atas dan bermain congkak.

Anaknya seakan memberitahu bahawa dia mengikuti seorang nenek untuk pergi ke bilik itu.

 

APABILA bermain sendirian, Nabilah sering bercakap seolah-olah ada orang lain bermain dengannya. – Gambar hiasan

Izah mengakui rumah yang mereka tinggal itu adalah rumah pusaka peninggalan nenek kepada suaminya.

Suaminya juga pernah menceritakan, sewaktu kecil dia pernah ternampak neneknya menyediakan makanan seperti telur kuning, ayam dan telur rebus dan meletakkannya di kawasan belakang rumah.

Apabila suaminya meningkat dewasa dan dia ada mendengar cerita bahawa neneknya ada membela makhluk ghaib bertujuan untuk menjaga tanah dan kawasan rumah mereka.

Maka tidak hairanlah anaknya itu kini mampu melihat benda-benda ghaib.

Sementara itu, Izah menegaskan apabila anaknya semakin membesar dan boleh bercakap dengan jelas dia ada memberitahu tentang apa yang dilihatnya.

“Nabilah mengatakan dia sering ternampak satu makhluk tinggi, berambut panjang, berwarna gelap dan memiliki gigi tajam yang kadangkala keluar masuk dalam rumah mereka.

“Apabila Nabilah semakin membesar dan mula mengerti, dia sering menangis kerana sering diganggu makhluk itu. Ada satu malam dia seakan dirasuk dan kami memanggil orang kampung yang memiliki kemahiran perubatan untuk mengubatinya,” jelas Izah.

Sewaktu Nabilah diubati, dia mula bercakap perkara yang merapu dan menjerit dengan kuat sewaktu pengamal perubatan itu cuba untuk mengeluarkan makhluk itu daripada tubuhnya.

“Tuan aku dah lama tak bagi aku makan,” itulah antara kata-kata yang keluar dari mulut Nabila sewaktu sedang dipulihkan.

Izah menjelaskan, mereka sering menjemput pakar perubatan tradisional untuk merawat anaknya itu dan memagar kawasan rumah agar tidak diganggu oleh makhluk-mahkluk ghaib.

“Seingat saya, Nabilah mampu melihat benda-benda ghaib ini sehingga umurnya antara sembilan hingga 10 tahun. Selepas itu, dia sudah tidak lagi mampu melihat perkara-perkara ghaib sebegitu,” jelasnya.

=================================================================================================
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN