SETELAH hampir setahun lebih berjauhan dengan suami kerana kerja, Suzi (bukan nama sebenar) tersenyum gembira apabila permohonannya untuk bertukar tempat kerja diluluskan majikan.
ni bermakna dia dapat pulang bekerja di kampung halaman sendiri dan boleh berada di samping suami tercinta.
Dia sangat gembira apabila dapat pulang ke kampung. Tetapi kegembiraan itu hanya seketika apabila selepas itu, Suzi menderita dipercayai disantau oleh rakan sekerja di tempat baharu.
“Lama saya menanggung penderitaan itu dan ribuan ringgit sudah dihabiskan bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Suzi menjelaskan, dia berkhidmat sebagai pegawai bank dan sesekali tidak menyangka rakan sekerja di tempat baharu tergamak berbuat demikian.
Pada awalnya semuanya baik-baik sahaja di tempat kerjanya itu, malahan rakannya itu juga amat mesra sekali.
Kadangkala mereka keluar makan bersama teman-teman sekerja yang lain.
Namun semuanya berubah selepas hampir lima bulan Suzi berkhidmat di situ apabila dia dinaikkan pangkat.
“Saya sendiri tidak menyangka akan dinaikkan pangkat. Saya menggangap itu sebagai rezeki. Berdasarkan pengalaman dan taraf pendidikan, saya memang layak untuk menerima kenaikan.
“Namun pada masa sama, saya tidak menyedari bahawa ada rakan yang cemburu dengan berita yang saya anggap baik itu,” katanya.
Sebulan selepas itu, Suzi mula terasa perubahan pada dirinya apabila dia sukar untuk tidur malam, badan berasa panas dan sering mendapat mimpi menakutkan.
Tegasnya, akibat sukar untuk tidur malam dia berhadapan dengan kesukaran di tempat kerja.
Disebabkan itu, dia sering terlelap ketika waktu bekerja.
Dia sendiri pernah ditegur oleh majikannya kerana terlelap terlalu lama.
Lebih merisaukan, Suzi sering mengalami batuk berdarah pada ketika itu.
“Saya risau apabila batuk, darah yang keluar berwarna hitam. Saya pergi ke klinik untuk melakukan pemeriksaan. Tetapi doktor memaklumkan saya tidak mengalami sebarang penyakit.
“Pada masa sama saya sering merasa gelisah jika keseorangan,” katanya.
Melihat keadaan Suzi semakin teruk, suaminya mencadangkan untuk mendapatkan rawatan secara tradisional.
Setelah mendapat rawatan, Suzi dimaklumkan bahawa dia terkena buatan orang dengan cara santau.

“Saya mulanya tidak percaya. Tetapi apa yang dimaklumkan oleh orang yang merawat, membuatkan saya kembali percaya.
“Dia menyatakan ada orang yang cemburu dengan kejayaan saya dan tidak berpuas hati hingga kini. Sebab itu dia tergamak berbuat perkara keji sedemikian,” katanya.
Ketika dirawat Suzi juga amat terkejut apabila dia memuntahkan benda-benda seperti jarum, kaca dan rambut.
Setelah mendapat rawatan, Suzi sembuh seketika tetapi perkara yang sama berlaku lagi terhadapnya selepas itu.
Setiap kali mendapat rawatan, dia akan memuntahkan benda-benda yang sama seperti sebelumnya.
Dalam pada itu, ketika di tempat kerja dia mendapat cerita bahawa rakannya itu pernah meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadapnya.
“Dia memberitahu raka-rakan lain sepatutnya jawatan itu miliknya tetapi saya telah merampasnya,” ujarnya.
Hampir setahun lebih Suzi berjumpa dengan pelbagai indivuidu yang dikatakan pakar dalam bidang pengubatan tradisional.
“Ada seorang yang merawat saya mengatakan bahawa si pelaku menghantar santau kepada saya melalui makanan.
“Seingat saya, dia ada beberapa kali membawa makanan dan memberi kepada saya untuk dimakan.
“Saya tidak menolak pemberiannya itu kerana tidak mengesyaki apa-apa pada ketika itu,” katanya.
Suzi berasakan selagi masih bekerja di situ dia akan berhadapan dengan perkara sama.
“Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Namun setelah menyuarakan hasrat itu kepada pihak pengursan, mereka mengetahui masalah yang menimpa saya.
“Akhirnya mereka membantu saya dengan menukar tempat kerja di cawangan lain,” katanya.
Setelah bertukar ke cawangan lain, Suzi beberapa kali lagi pergi mendapatkan rawatan untuk mengubati masalah yang dihadapinya itu.
Akhirnya dengan bantuan mereka yang pakar dalam bidang perubatan tradisional, Suzi akhirnya berjaya sembuh.














