fbpx

12 individu termasuk YouTuber bergaduh di gelanggang futsal ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa membuat laporan polis susulan tidak puas hati selepas dipukul Youtuber itu.

PETALING JAYA – Polis mengesahkan penahanan 12 individu termasuk seorang YouTuber yang terbabit dalam satu pergaduhan di sebuah gelanggang futsal di Taman Perindustrian Subang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, kesemua tangkapan dibuat kira-kira pukul 1.30 pagi tadi menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

“Tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Cawangan Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya susulan laporan yang diterima di sekitar Jalan Persiaran Kewajipan, USJ 8, Subang Jaya

“Tangkapan pertama dibuat kira-kira pukul 1.30 pagi melibatkan tujuh lelaki tempatan berusia 18 hingga 28 tahun dan tangkapan kedua pula pada pukul 1.50 pagi melibatkan lima lelaki berusia awal 20-an,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi hari ini.

Menurut Abd. Khalid siasatan berhubung kejadian sedang dilakukan dan kesemua tangkapan telah diberi reman selama sehari oleh mahkamah bagi memberi ruang siasatan dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” tegas beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan tentang satu pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki termasuk seorang YouTuber di gelanggang futsal berkenaan susulan satu perselisihan faham yang terjadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu, seorang lelaki mendakwa telah diserang oleh sekumpulan lelaki lain termasuk YouTuber berkenaan hingga mengalami kecederaan teruk pada muka serta badan.

Menerusi satu video berdurasi lapan saat yang tular di laman media sosial menunjukkan aksi pergaduhan itu malah ada yang turut melafazkan kata-kata kesat.

Menurut mangsa, pergaduhan tersebut tercetus selepas dia meleraikan pergaduhan antara dua individu ketika berada di gelanggang futsal.

Beberapa minit kemudian, salah seorang yang terlibsat dalam pergaduhan itu didakwa datang semula bersama beberapa individu lain sebelum memukul mangsa hingga cedera.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI