fbpx

Dakwaan Makaf pada MSN tidak tepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD Shapawi menjelaskan MSN sedia berbincang dengan Makaf menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja Karate bagi menyelesaikan isu berbangkit pada hujung bulan ini.

KEMELUT antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) berterusan apabila badan induk sukan negara tampil mempertahankan diri semalam.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail me­negaskan, dakwaan Makaf yang mengatakan pihaknya mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyalurkan peruntukan kepada persatuan sukan adalah tidak benar.

Kata beliau, jumlah peruntukan yang diberikan kepada setiap persatuan adalah berdasarkan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) yang sudah digunakan selama ini.

“Merujuk kenyataan Makaf yang mendakwa MSN mengamalkan sikap pilih kasih terutamanya mengenai peruntukan gaji jurulatih tidak setimpal, ia agak menyimpang daripada ­situasi sebenar.

“Sebenarnya kita juga mempunyai limitasi tertentu dalam peruntukan serta kadar kenaikan gaji jurulatih yang tertakluk kepada SPKK. Ia digunakan untuk semua jenis sukan dan Makaf juga maklum dengan perkara ini,” katanya menerusi satu ke­nyataan yang dikeluarkan.

Pada masa sama, Shapawi berkata, MSN turut mengalu-alukan MAKAF menggunakan dana sedia ada sekiranya mereka mahu memberi insentif tambahan kepada barisan kejurulatihannya.

Beliau turut mengakui pihaknya sedia mengadakan perbincangan lanjut dengan Makaf mengenai isu tersebut menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja Karate yang dijangka berlangsung hujung bulan ini.

“MSN menghormati MAKAF sebagai badan utama karate di Malaysia, jadi kami sedia untuk berbincang dengan mereka pada mesyuarat akan datang bagi menyelesaikan isu ini,” ujarnya.

Kelmarin, Setiausaha Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad menyuarakan rasa kecewa atas layanan berat sebelah yang diberikan badan induk sukan negara itu terhadap persatuan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI