fbpx

PM adakan lawatan rasmi ke Arab Saudi, UAE bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri merupakan ketua kerajaan yang pertama dijemput oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi susulan dari Persidangan Al-Ula pada 5 Januari lalu.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi bermula esok sehingga Selasa depan sebagai memenuhi jemputan khas daripada negara itu.

Muhyiddin seterusnya akan mengadakan lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 9 hingga 11 Mac depan.

Kementerian Luar (KLN) dalam satu kenyataan berkata, ini adalah lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Arab Saudi dan UAE sejak beliau dilantik pada 1 Mac tahun lalu.

Katanya, Perdana Menteri merupakan ketua kerajaan yang pertama dijemput oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi susulan Persidangan Al-Ula pada 5 Januari lalu.

“Perdana Menteri menerima jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi daripada Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud pada bulan April tahun lalu.

“Atas dasar keakraban dan hubungan yang telah terjalin sekian lama di antara kedua-dua buah negara, Malaysia memenuhi jemputan daripada Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KLN berkata, kuota haji serta prosedur haji dan umrah bagi jemaah dari Malaysia menjadi antara perkara yang akan dibincangkan Malaysia dan Arab Saudi dalam pertemuan empat mata itu.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri juga dijadualkan akan mengerjakan umrah di Mekah, diikuti ziarah di Madinah dari 6 hingga 8 Mac di atas jemputan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

“Di UAE, program rasmi Perdana Menteri akan berlangsung di Abu Dhabi dan Dubai pada 10 Mac.

“Ini termasuklah pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE, Sheikh Mohamad Zayed Al Nahyan dan Naib Presiden UAE serta Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum,” katanya.

KLN berkata, Perdana Menteri hanya akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta delegasi kecil yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri dan KLN untuk meminimumkan risiko jangkitan Covid-19.

“Lawatan rasmi ini juga tertakluk kepada prosedur operasi standard pencegahan Covid-19 yang ketat sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan Kementerian Kesihatan dan Pencegahan UAE,” katanya. –K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI