fbpx

Masih ada perniagaan terjejas walaupun ekonomi bertambah baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Meskipun ekonomi negara dijangka bertambah baik pada tahun ini ekoran pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, namun masih ada perniagaan yang terjejas dan belum dapat beroperasi sepenuhnya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan di seluruh negara.

Justeru, katanya, Bank Rakyat memperkenalkan Program Rintis Rakyatpreneur 2021 bertujuan membantu asnaf dan usahawan mikro daripada golongan B40 yang masih terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Sememangnya situasi pasca Covid-19 amat mencabar keupayaan usahawan meneruskan perniagaan yang mana memerlukan kestabilan mental dan emosi dalam menangani situasi sukar.

“Usahawan golongan B40 dan informal yang tidak berdaftar antara yang amat terkesan kerana kebanyakannya bergantung kepada pendapatan harian dan tidak mempunyai simpanan wang yang mencukupi untuk menampung kos perniagaan,” katanya pada Majlis Perasmian Program Rintis Rakyatpreneur 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

Wan Junaidi berkata, justeru beliau percaya Program Rintis Rakyatpreneur 2021 sangat relevan dalam membantu pesertanya memperoleh dana perniagaan sokongan dan bimbingan serta pengetahuan dan kemahiran baharu.

Katanya, beliau juga berharap program itu akan memberi impak dalam membuka potensi keusahawanan serta memberi peluang kepada komuniti yang kurang dan tidak mendapat perhatian untuk merealisasikan impian menjadi usahawan berjaya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar berkata, Program Rintis Rakyatpreneur 2021 buat permulaan menyaksikan seramai 20 peserta dipilih dalam kalangan pengusaha mikro yang mempunyai pendapatan bulanan purata antara RM1,000 hingga RM3,000.

Menurut beliau, mereka menerima suntikan dana berjumlah RM5,000 seorang dan diberi latihan keusahawanan melalui webinar daripada Institut Keusahawanan Negara (Insken).-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI