fbpx
Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan bangkai seekor ular sawa anggaran panjang tiga meter yang ditemukan ketika operasi memadam api di kawasan tanah gambut seluas kira-kira 0.5 hektar di Kampung Matang Merbau, Trong hari ini.

Kes meningkat lebih 500 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Insiden kebakaran terbuka di seluruh negara mencatatkan peningkatan mendadak berikutan fenomena cuaca panas dan kering melanda Malaysia sejak bulan lalu.

Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor His­ham Mohammad berkata, seba­nyak 928 kes kebakaran membabitkan kebun dan ladang, hutan, belukar dan lalang serta sampah dilaporkan kepada pihaknya sepanjang Januari lalu.

Menurut beliau, bilangan kes bagaimanapun meningkat apabila sebanyak 5,354 kebakaran terbuka dilaporkan berlaku di seluruh negara pada bulan lepas.

“Daripada jumlah itu, seba­nyak 426 kes membabitkan kebakaran kebun dan ladang, hutan (600 kes), belukar dan lalang (3,739 kes) dan sampah (589 kes).

“Jumlah panggilan harian kes kebakaran tertinggi diterima adalah sebanyak 401 panggilan pada 25 Februari lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Nor Hisham memberitahu, statistik awal JBPM menunjukkan kes kebakaran terbuka ter­tinggi pada bulan lalu dicatatkan di Johor diikuti Selangor, Kedah dan Perak.

Pulau Pinang, Melaka, Nege­ri Sembilan dan Pahang turut merekodkan bilangan kes kebakaran tinggi sehingga ratusan kes dalam tempoh tersebut.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada membuat pembakaran terbuka termasuk di kawasan perumahan kecuali mereka yang mendapat kebenaran.

“Sebagai contoh aktiviti membakar jerami, ia perlu dilakukan secara berhati-hati dan dikawal agar tidak merebak.

“Ibu bapa diminta memantau anak-anak yang belum kembali ke sekolah supaya tidak melakukan pembakaran termasuk di taman-taman permainan,” katanya.

Beliau mengakui pihaknya berdepan kekangan iaitu jentera JBPM tidak mencukupi untuk memadam kes kebakaran terbuka sekiranya banyak kes dilaporkan pada satu-satu masa.

“Keadaan ini yang menyebabkan JBPM mengalami situasi yang kami gelar sebagai ‘terhutang panggilan’.

“Sebab itu kita minta orang ramai sekiranya ternampak kebakaran terbuka cuba padamkan secepat mungkin sebelum api merebak terutama di kawasan tanah gambut,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN