fbpx

Kian berusia, makin banyak risiko sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MEGAT RAMLI MEGAT RAOF, PENGARANG BERITA

Rakyat Malaysia kini nampaknya mula aktif mengamalkan gaya hidup sihat. Sebelum Covid-19 melanda Malaysia, ramai yang begitu ‘liat’ bersenam.

Masa untuk menjaga kesihatan langsung tidak dipedulikan. Namun kini, mereka yang tidak pernah beriadah sudah mula berjinak-jinak mengeluarkan peluh.

Berbasikal misalnya menjadi trend yang popular, tidak kurang juga berjoging pada hujung minggu.

Mungkin ini norma baharu kehidupan rakyat ketika negara masih dilanda Covid-19. Tubuh yang sihat mampu meningkatkan ketahanan badan daripada serangan penyakit selain menjamin kesihatan mental.

Tidak hairanlah kita lihat ramai warga kota yang berjoging dan berbasikal selain melakukan aktiviti riadah lain yang dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkembangan ini sesuatu yang positif walaupun realitinya, sebahagian mereka mungkin hanya mahu melepaskan rasa bosan duduk di rumah.

Mungkin juga motivasi untuk mengamalkan gaya hidup sihat semakin tinggi apabila melihat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun sudah kurus.

Penampilan baharu Rina membuatkan ramai yang kagum dan tercabar terutama wanita sehingga menjadikan beliau sebagai idola untuk lebih langsing dan menawan.

Rina pernah mendedahkan bahawa kejayaan beliau melakukan transformasi terhadap dirinya hanya dengan mengamalkan diet yang sihat dan berbasikal.

Namun, ramai yang mempertikaikan kenyataan itu. Kata mereka, takkan hanya dengan berbasikal dan mengamalkan diet yang sihat boleh menjadi langsing.

Kurus atau tidak, yang lebih penting adalah sihat. Kalau mampu untuk kuruskan badan dan sihat, itu adalah bonus.

Kesihatan adalah nikmat yang tidak ternilai dalam kehidupan. Ada orang kaya yang mempunyai wang berjuta-juta ringgit, tetapi menghidap pelbagai penyakit kronik dan sering kali keluar masuk hospital untuk rawatan.

Terdapat juga penjawat awam dan kakitangan swasta yang menghidap sakit jantung, diabetes, darah tinggi dan kanser sebaik sahaja mereka pencen atau bersara.

Wang pencen atau simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang sepatutnya digunakan untuk menampung kehidupan dan bersenang-senang pada hari tua terpaksa dihabiskan bagi mengubati penyakit.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendapati, prevalens rakyat Malaysia yang mengalami masalah berat badan dan obesiti terus meningkat daripada 47.7 peratus pada 2015 kepada 50.1 peratus pada 2019.

Secara keseluruhan, satu daripada dua rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan.

Penyumbang utama daripada cara hidup yang tidak sihat, tiada melakukan aktiviti fizikal serta pengambilan makanan yang tidak sihat dan tidak seimbang.

Gaya hidup dan amalan pemakanan ketika ini akan menentukan tahap kesihatan setiap individu pada masa hadapan. Perlu diingatkan, semakin berusia kita, semakin banyak risiko penyakit yang akan menunggu.

Teruskan norma baharu dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat, jangan jadikan amalan ini sebagai norma baharu sahaja mengikut keadaan semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI