fbpx

Lebih lima kartel dadah dikenal pasti – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hamid memberi kata semangat kepada kumpulan pelatih pada Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli di Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh hari ini. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti lebih lima sindiket dadah dalam negara yang didalangi orang kenamaan bergelar Tan Sri dan Datuk.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sindiket yang mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap minggu itu telah lama dalam pemerhatian polis yang turut mempunyai data lengkap penglibatan mereka.

Bagaimanapun katanya, kekangan yang dihadapi pihaknya kini adalah untuk mendapatkan beberapa bukti yang boleh mengaitkan mereka secara langsung dengan sindiket berkenaan.

“Mereka tidak boleh lari, kita ada data-data yang lengkap selain kegiatan itu sudah lama dalam pemerhatian. Insya-Allah, kita akan dapat (bukti) dan ambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli (PDRM) Siri 1/2020 di lapang sasar utama, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini hari ini.

Menurut beliau, tangkapan ke atas dalang utama sindiket berkenaan perlu dilakukan agar usaha membanteras kegiatan haram itu yang giat dijalankan di seluruh negara tidak sia-sia.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga telah melaksanakan operasi demi operasi dengan rampasan bernilai jutaan ringgit setiap minggu.

“Kita mempunyai maklumat terdapat pihak yang menggerakkan aktiviti ini sebagai ‘funder’ melalui orang-orang kepercayaan.

“Jadi tindakan perlu diambil, jika tidak sia-sia sahaja usaha kita kerana yang kita tangkap dan dakwa adalah mereka yang di lapisan bawah sedangkan mereka yang di atas terlepas.

“Saya ingin tegaskan, ini bukan amaran kosong sebaliknya tangkapan ke atas mereka-mereka yang menjadi dalang utama sindiket ini perlu dibuat,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, pertambahan penjawatan untuk JSJN diperlukan dalam usaha menangani penularan kes dadah di negara ini dengan berkesan.

“Saya rayu, biarlah perlu hantar tujuh dulang hati nyamuk pun sebagai syarat kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk mendapatkan kekuatan tambahan bagi Jabatan Narkotik, saya sanggup kerahkan anak buah untuk kumpulkannya.

“Saya serius kerana tidak mahu dituduh di kemudian hari sebagai Ketua Polis Negara yang gagal menangani ancaman dadah sehingga menular ke balai polis,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI