fbpx

Lapor jika berlaku ‘potong barisan’ – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hamid

IPOH – Orang ramai diminta melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berlaku kejadian ‘memotong barisan’ oleh pihak tertentu untuk menjadi penerima awal suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya didapati wujud unsur-unsur penyelewengan oleh pihak tertentu.

“Sekiranya berlaku, minta laporkan kepada saya (polis). Mungkin ada penyelewengan di satu-satu pihak dan ia boleh jadi satu kesalahan jenayah,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli (PDRM) Siri 1/2020 di lapang sasar utama, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya terdapat 200 Ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan cuba ‘memotong barisan’ untuk menjadi penerima terawal suntikan vaksin Covid-19.

Mesej yang tular di media sosial sejak semalam itu mendakwa, suntikan vaksin kepada petugas barisan hadapan itu terpaksa ditangguhkan untuk memberi ‘laluan’ kepada 200 ahli SUK Kelantan terbabit.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, beliau maklum mengenai perkara itu namun sehingga kini tiada laporan polis dibuat mana-mana pihak.

“Difahamkan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ada mengeluarkan kenyataan untuk siasat perkara itu. Kalau benar ada berlaku, kita minta laporkan kepada polis,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan tiada individu yang ditangkap mahupun diambil tindakan kerana menghasut untuk menolak vaksin.

Katanya, tindakan tegas bagaimanapun akan diambil sekiranya golongan tersebut didapati terus mencabar pihak berkuasa dengan menghasut orang ramai.

“Saya harap tidak berlaku dan tidak akan ada tangkapan tetapi kalau mereka cuba mencabar dan bersifat busuk hati, saya akan pastikan mereka ditangkap,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI