KUANTAN – Penduduk di enam buah kampung di Mukim Kechau dinasihatkan supaya tidak terpedaya kepada pihak yang berpura-pura menabur janji manis untuk mengambil kesempatan mendapatkan emas yang tertanam di dalam tanah milik mereka.
Kemunculan golongan tersebut dibimbangi akan mengulangi tragedi bauksit Bukit Goh yang menyaksikan ramai pemilik tertipu dan mengalami kerugian apabila tanah mereka dipajak dengan harga yang rendah.
Perlombongan bauksit di Kuantan khususnya di kawasan Felda Bukit Goh pada 2015 dan 2016 telah menyebabkan bencana ekologi dan pencemaran teruk.
Ekoran itu, terdapat penduduk mengalami kerugian akibat ditipu orang tengah selain hilang punca pendapatan selama-lamanya selepas ladang kelapa sawit mereka dimusnahkan.
Bukan itu sahaja, ada peneroka terbabit masih belum mendapat bayaran penuh apabila hasil bauksit mereka dijual oleh pelombong pada harga lebih tinggi berbanding yang dibayar kepada mereka.
Lebih menyedihkan mereka dikejar Lembaga Hasil Dalam Negeri yang meminta menjelaskan bayaran cukai sehingga mencecah RM500,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri hanya boleh menasihatkan penduduk untuk berhati-hati dan selebihnya terpulang kepada mereka.
“Adalah dinasihatkan agar semua pemilik tanah tidak terpengaruh dengan janji-janji manis bulan dan bintang daripada pihak-pihak yang berkenaan yang akhirnya akan menyusahkan mereka.
“Elakkan kejadian yang sama berlaku seperti di Bukit Goh,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Khamis lalu, Kosmo! melaporkan enam buah kampung di Mukim Kechau dipenuhi dengan emas hingga ada penduduk yang mendapat dua kilogram logam berharga itu hanya dengan sekali sauk menggunakan jengkaut.
Perut bumi di mukim yang mempunyai keluasan 77,000 hektar dan didiami kira-kira 5,000 penduduk tersebut dikatakan kaya dengan emas kerana logam berharga itu masih terdapat di situ walaupun telah digali sejak ratusan tahun dahulu.
Menurut Wan Rosdy, beliau mendapat berita penemuan emas di beberapa kawasan di negeri ini menyebabkan ada pihak yang berminat mengambil alih tanah di situ.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Skim Pelombong Kecil beliau berkata, pemilik tanah yang berhasrat untuk terlibat dalam skim itu, diminta terus berhubung dengan pihak Pahang Mining Corporation (PMC) dan tidak menggunakan orang tengah bagi mengelakkan sebarang salah laku dan salah faham.
“Sebelum pelaksanaan skim ini, pihak PMC terlebih dahulu wajib mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah dan sekiranya bersetuju, PMC akan meneruskan rundingan bersama pemilik-pemilik tanah yang terlibat.
“Sesi penglibatan antara pemilik tanah dan PMC perlu dibuat bagi memastikan segala keperluan undang-undang dan kepentingan pemilik tanah diambil kira,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, dalam membanteras perlombongan haram emas di negeri ini pihak berkuasa melakukan pemantauan dan operasi berterusan yang menyaksikan sebanyak 16 serbuan dilakukan di antara Februari 2020 hingga Februari tahun ini di Lipis dan Raub.
Katanya, dalam tempoh berkenaan 14 kes serbuan di Lipis termasuk di kampung-kampung di Mukim Kechau direkodkan manakala dua kes serbuan di Raub dengan rampasan melibatkan 15 jentera, 16 pam air, satu enjin air dan satu penjana elektrik.

















