fbpx

Isu potong barisan pemberian vaksin akan disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Isu dakwaan ‘potong barisan’ dalam proses mendapatkan vaksin Covid-19 kini dalam perhatian kerajaan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai dakwaan itu boleh terus e-mel kepadanya sendiri.

“Saya pandang sangat serius isu ‘queue jumper’ ini. Saya telah maklum perkara ini kepada Noor Hisham agar tiada pemotongan barisan.

“Whistleblower (pemberi maklumat) boleh hantar emel secara terus kepada saya [email protected] dan saya akan siasat,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Selain itu, katanya, pasukannya juga akan memantau komen-komen pemberi maklumat di media sosial berhubung isu berkenaan.

Khairy berkata, beliau juga sudah berkongsi perkara sama dengan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong dan ia kini dalam siasatan.

“Kami mengambil serius perkara yang didedahkan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy menerusi ciapan lain berkata, wakil rakyat adalah kumpulan individu yang ditetapkan untuk menerima suntikan vaksin bagi fasa pertama PICK.

“Cuma sekarang ini ‘VVIP’ bukan wakil rakyat pun nak masuk senarai. Tak boleh. Dan untuk wakil rakyat, saya juga minta ambil secara berperingkat. Ada negeri bagi semua exco sekali gus. Itu adalah tindakan yang tidak baik,” katanya.

Isu potong barisan dipersoalkan netizen apabila ada maklumat yang mengaitkan vaksin turut diberikan kepada golongan dan individu lain selain barisan hadapan.

Sementara itu, Khairy berkata, seramai 1,428,719 orang sudah mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera setakat pukul 6.30 petang tadi.

“Setakat hari ini juga, seramai 15,923 orang sudah menerima vaksin,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI