fbpx

Geng Wan Tocang selongkar kereta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barang rampasan yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kegiatan Geng Wan Tocang.

MELAKA – Kegiatan Geng Wan Tocang yang aktif menyelongkar dan mencuri barang-barang yang disimpan di dalam kenderaan tumpas selepas empat suspek termasuk dalang utama berjaya diberkas, semalam.

Tangkapan keempat-empat suspek berusia 27 sehingga 31 tahun itu berjaya menyelesaikan lapan kes pecah kenderaan yang dilaporkan berlaku sejak Oktober tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalang utama geng itu berusia 30 tahun berjaya dikesan sepasukan Cawangan Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) selepas menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika kejadian, suspek bagaimanapun cuba melarikan diri namun berjaya dikejar dan berlaku pergelutan sebelum akhirnya diberkas polis kira-kira pukul 12.30 pagi di tepi jalan Taman Seri Duyong, di sini.

“Pasukan D4 bersama-sama anggota Balai Polis Kandang berjaya menahan suspek di dan pemeriksaan beg silang dibawanya menemukan sebotol minyak wangi, sebuah telefon jenama Samsung dan dua resit jual beli telefon bimbit.

“Susulan tangkapan tersebut, kita berjaya menangkap tiga lagi suspek lelaki berusia 27, 30 dan 31 tahun di bilik sebuah rumah sewa di Bukit Sebukor, di sini pada pukul 2.15 pagi,”katanya.

Katanya, hasil soal siasat, kesemua suspek mengakui aktif melakukan kegiatan menyelongkar kereta di kawasan Banda Hilir, Kandang dan Bukit Baru.

“Suspek menyasarkan kenderaan yang tidak berkunci dan diparkirkan di luar kawasan rumah atau lokasi jauh daripada padangan orang ramai.

“Kegiatan itu dilakukan tanpa menggunakan sebarang peralatan khas dan mereka hanya membuka pintu untuk menyelongkar sebelum melarikan barang-barang berharga termasuk telefon bimbit, wang tunai, beg dan sebagainya,”katanya.

Ujarnya, pihaknya turut merampas pelbagai barangan beg, jam tangan, resit jual beli telefon, cermin mata dan kasut dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.

Jelasnya, suspek dipercayai melakukan kegiatan tersebut bagi menampung perbelanjaan harian dan membeli dadah.

“Semakan lanjut dalang geng dikenali sebagai Wan Tocang ini mempunyai tiga rekod jenayah samun, satu kes curi dan tujuh melibatkan dadah.

“Kesemua suspek kini direman empat hari bermula 27 Februari (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Afzanizar menasihatkan orang ramai agar memastikan kenderaan masing-masing dikunci dengan selamat sebelum ditinggalkan agar tidak membuka peluang dan ruang bagi jenayah pecah kenderaan berlaku. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI