fbpx
Gambar hiasan.

K2

Bercerai kerana ketagih game online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIRI umpama berjasad, namun tidak ‘bernyawa’.

Begitu nasib malang ditempuh Mira (bukan nama sebenar), 30, yang bergelar ibu tunggal selepas rumahtangganya musnah akibat suami ketagihan teruk permainan dalam talian (online game).

Ikatan cinta bersama bapa kepada dua anaknya itu terlerai sekelip mata selepas dilafazkan talak pada tahun lalu.

Pergolakan itu timbul selepas suaminya mula terjebak mengenali dunia permainan maya di telefon pintar sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Tidak cukup dengan itu, Nazim (bukan nama sebenar), 35, turut gagal memberi nafkah batin sewajarnya kepada Mira dengan hanya ‘bersama’ sekali sebulan.

Baginya, telefon pintar lebih penting daripada isteri dan anak-anak kerana setiap hari menghabiskan masa bermain game sehingga ke awal pagi.

Mengimbau nostalgia pahit itu, Mira mengenali lelaki kelahiran sebuah negeri di Pantai Timur berkenaan sejak tahun 2015.

“Detik perkenalan itu diatur oleh keluarga kedua-dua pihak dalam satu sesi pertemuan di sekitar ibu negara.

“Ibarat dari mata turun ke hati, kami kemudian saling meminati dan menjalin hubungan cinta yang serius,” kata suri rumah itu kepada K2.

Berbekalkan restu keluarga, pasangan itu melayarkan bahtera rumah tangga setahun kemudian.

Selain kekukuhan cinta, ‘istana’ mereka bertambah seri apabila dikurniakan dua cahaya mata lelaki kini berusia dua dan tiga tahun.

Kebahagiaan yang diimpikan Mira mula goyah selepas suaminya yang bekerja sebagai eksekutif swasta tiba-tiba bersikap ‘dingin’.

“Sejak hujung 2019, saya menyedari tingkah laku Nazim berubah kerana tangannya tidak pernah lekang dengan telefon pintar.

“Apabila bertanyakan perkara itu, dia memberitahu hanya bermain game online sekadar hobi.
“Saya pada awalnya memang tidak beranggapan apa-apa dan menyangka ia mungkin perkara biasa,” ujarnya yang menetap di Selangor.

Telahan Mira itu ternyata salah apabila keadaan Nazim dilihat semakin ‘parah’ seolah-olah mengalami ketagihan melampau.

“Dia sebelum ini biasanya akan bermesra dan melayan kerenah saya serta anak-anak selepas pulang dari kerja pada lewat petang.

“Keadaan itu bagaimanapun berubah sekelip mata kerana dia langsung tidak mengendahkan kami dan hanya menghadap telefon sehingga pukul 4 pagi.

“Apabila ditegur, dia terus melenting dengan alasan bukannya berlaku curang dengan sesiapa dan hanya berada di rumah,” katanya.

Sejak itu, Mira menyedari insan yang pernah bertakhta di hatinya selama empat tahun itu semakin jauh tersasar sebagai ketua keluarga.

“Namun, saya sebagai seorang isteri dan ibu tetap cekal bersabar biarpun perit untuk menempuhnya hampir setiap hari.

“Setiap malam saya hanya tidur bersendirian seperti jasad tidak bernyawa dan kami amat jarang ‘bersama’ seperti pasangan lain.

“Selain itu, saya dan anak-anak juga kerap menjadi ‘bahan’ untuk dia melepaskan geram sekiranya tewas dalam permainan berkenaan.”

 

MIRA ditampar hingga berdarah mulut hanya kerana menyorok telefon bimbit suami yang ketagih permainan game online.– gambar hiasan

 

Bagi menyelamatkan rumah tangga, Mira turut mencari pelbagai idea antaranya mengajak Nazim keluar bersama anak atau menziarah ahli keluarga lain.

“Namun, dia sebaliknya memberi alasan mahu berehat di rumah dan perlu menghabiskan permainan online berkenaan.

“Ini menyebabkan semua ahli keluarga dan saudara sering kali bercakap buruk mengenai Nazim terutama tentang ketagihannya itu.

“Biarpun perit, saya terpaksa menutup telinga untuk tidak mengendahkannya,” katanya.
Kesabaran Mira bagaimanapun kian menipis apabila prestasi kerja suaminya semakin merosot.

“Dalam tempoh seminggu, hampir setiap hari dia lewat ke tempat kerja kerana sentiasa mengantuk dan tidak cukup tidur.

“Perkara itu turut dimaklumkan majikan Nazim yang menghubungi saya supaya menasihatkannya untuk mengubah sikap.

“Apabila dinasihat, dia bagaimanapun memaki hamun saya di depan anak-anak supaya tidak mencampuri urusan kerja,” ujarnya.

Hampir setahun berlalu, Mira nekad mahu melakukan sesuatu bagi terus menghalang ketagihan suaminya itu.

“Seperti ditakdirkan, Nazim ketika itu sedang tidur nyenyak atas sofa di ruang tamu dengan telefon pintar di dadanya.

“Saya segera mengambil telefon itu dan menyembunyikan di bawah tilam di bilik tidur kami,” katanya.

Pada keesokkan harinya iaitu cuti hujung minggu, dunia Mira ibarat hari ‘kiamat’ selepas suaminya itu seperti manusia hilang akal mencari telefon tersebut.

“Sambil menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat, dia meminta saya segera memulangkannya selain turut bertanyakan kepada anak-anak mengenainya.

“Bimbang anak diapa-apakan, saya menyerahkan telefon itu. Akibatnya saya ditampar beberapa kali sehingga mulut berdarah,” katanya sebak.

Pada waktu itu, Mira berasakan dirinya tidak lagi dihargai, malah terus diabaikan dan tidak dihormati biarpun sudah diberi peluang untuk berubah.

“Walaupun ditentang keluarga, saya berpendirian tegas untuk tetap memohon perceraian daripada Nazim kerana terlalu kecewa dengan sikapnya yang sudah parah itu.

“Tiada peluang kedua untuknya dan perpisahan mutlak adalah jalan terbaik buat kami,” katanya yang mendapat hak penjagaan anak-anak.

Oleh demikian, dia menasihatkan pasangan suami isteri supaya tidak terlalu taksub dengan permainan secara maya seumpama itu sehingga mengabaikan tanggungjawab utama yang perlu dipikul.

“Tidak salah bermain game, namun biarlah berpada-pada dan tidak sesekali lupa tanggungjawab bukan hanya sebagai manusia, malah kepada Allah.

“Kita perlu sentiasa menghargai masa yang ada dengan aktiviti lebih berfaedah dan mengukuhkan lagi ukhuwah antara sesama ahli keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN