fbpx

Sultan Selangor ingatkan rakyat jangan terpedaya antivaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin bertitah, usaha yang dilakukan kerajaan menerusi pemberian vaksin ini seiring dengan tuntutan agama dan amat wajar dilakukan demi kesihatan serta kesejahteraan rakyat.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat tidak terpedaya dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai antivaksin.

Sultan Sharafuddin bertitah, usaha yang dilakukan kerajaan menerusi pemberian vaksin ini seiring dengan tuntutan agama dan amat wajar dilakukan demi kesihatan serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

“Beta menasihatkan sekalian rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing seperti yang telah dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Meskipun telah mendapatkan vaksin kelak, rakyat perlu terus hidup dengan mengamalkan norma-norma baharu sehinggalah pandemik Covid-19 ini dapat dikawal sepenuhnya,” titah baginda yang dikeluarkan Istana Alam Shah menerusi Facebook rasmi Selangor Royal Office sebentar tadi.

Baginda turut berkenan untuk menerima giliran suntikan vaksin Covid-19 hanya selepas semua petugas barisan hadapan termasuk para doktor, jururawat, kakitangan hospital, anggota keselamatan, polis, tentera dan guru, mendapat suntikan vaksin berkenaan.

Sultan Sharafuddin menegaskan, keutamaan pemberian vaksin ketika ini harus ditumpukan kepada para petugas barisan hadapan yang sentiasa berdepan risiko jangkitan yang lebih tinggi.

“Justeru, sehingga semua petugas barisan hadapan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing, beta sendiri akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Ini termasuk memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal lebih satu meter serta duduk di rumah sekiranya tidak perlu untuk berada di luar,” titah baginda. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI