fbpx

Pengarah kecewa, Nadia Brian terkilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADIA BRIAN dan Shuhaimi meluahkan kekecewaan terhadap pemotongan adegan seram dalam drama Aku Yang Kau Gelar Isteri.

PETALING JAYA – Pengarah drama Aku Yang Kau Gelar Isteri, Shuhaimi Lua Abdullah masih tidak dapat menahan kecewa apabila beberapa babak menyeramkan dalam drama tersebut dipotong pihak penyiar didakwa tidak bersesuaian tayangan menerusi televisyen.

Shuhaimi sewaktu dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia kecewa kerana adegan babak seram yang dipotong itu melibatkan masa, kos dan komitmen pelakon untuk menghidupkan jalan cerita drama tersebut.

“Pada saya, apabila beberapa babak seram itu dipotong, tindakan sebegitu boleh menyebabkan penonton tidak memahami jalan cerita dan menimbulkan tanda tanya.

“Contohnya pada malam tadi, adegan muntah berdarah oleh pelakon Nadia Brian juga dipotong sepenuhnya dan sedikit sebanyak mengganggu jalan cerita drama itu,” ujarnya.

Menurut Shuhaimi, ketika berbincang dengan pihak stesen iaitu TV3, kandungan adegan-adegan tersebut telah dibincangkan sekali gus memberikan keyakinan kepada pihak produksi bahawa stesen televisyen telah memberi kelulusan sepenuhnya untuk siaran.

SHUHAIMI LUA ABDULLAH

“Tiba-tiba saya dimaklumkan terdapat adegan yang perlu dipotong sepenuhnya. Bagi saya, apabila bercakap tentang drama seram, perlu ada adegan menyeramkan.

“Kalau tidak, genre cerita itu akan berubah menjadi drama air mata!,” kata Shuhaimi.

Bagaimanapun, Shuhaimi berkata adegan yang dipotong tersebut boleh ditonton secara penuh menerusi portal penstriman iQiyi Malaysia.

Sementara itu, salah seorang pelakonnya, Nadia Brian juga berasa terkilan kerana beberapa babak penting yang sepatutnya menjadi penguat jalan cerita dipotong.

“Babak saya ketika terkena buatan orang sehingga mengeluarkan benang dari mulut pun dipotong.

“Pelik juga kenapa babak yang penting sebegitu dipotong oleh stesen televisyen. Risau juga terganggu jalan ceritanya, takut penonton tak faham,” katanya.

BABAK Raihana lakonan Nadia Brian muntah darah dan menarik keluar benang dari mulutnya juga antara yang dipotong daripada siaran televisyen.

Suara Nadia jadi ‘abang-abang’

Jelas pelakon yang membawa watak Raihana itu, babak dia menarik benang dari dalam mulut antara adegan yang paling sukar dilakukan.

“Susah nak buat babak tersebut tetapi tak mengapalah, mungkin mereka ada alasan tersendiri. Semasa mula-mula baca skrip, bulu roma saya meremang.

“Tahniah kepada pasukan produksi kerana berjaya menyiapkan adegan tersebut. Alhamdulillah kita berjaya dapat habiskan naskah ini.

“Walaupun adegan dibuang, tak mengapalah mesti ada sebab yang muhasabah. Setidak-tidaknya saya tahu tahap lakonan saya. Saya boleh buat untuk lakonan walaupun tekak sakit, hilang suara dan paling teruk suara bertukar jadi ‘abang-abang’,” jelas Nadia.

Uhtuk masa akan datang, Nadia berharap pihak stesen dapat mempertimbangkan untuk menyiarkan lebih banyak adegan sebegitu. Kalau perlu, buat slot khas untuk drama mengikut klasifikasi sama ada 18 tahun ke atas,” ujarnya lagi.

Terdahulu, pengarah drama berkenaan turut meluahkan rasa terkilan apabila babak bomoh wanita, Cik Embun lakonan Lana Nodin mencucuk kemaluan watak lakonan Sharifah Sakinah juga turut dipotong.

SHUHAMI sebelum ini meluahkan kekesalan kerana babak bomoh wanita melakukan rawatan mencucuk kemaluan seorang watak dalam drama Aku Yang Kau Gelar Isteri dipotong sepenuhnya daripada siaran televisyen.

Drama bersiri Aku Yang Kau Gelar Isteri menggantikan Takdir Yang Tertulis disiarkan menerusi TV3, Isnin hingga Khami pukul 10 malam. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI