fbpx

Pemain perlu belajar daripada kesilapan – Aidil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN KDA FC, Mohd. Fayadh Zulkifli Amin (kanan) melompat tinggi mendapatkan bola sampil diasak pemain Selangor 2 pada aksi persahabatan di Pusat Latihan FAS, Shah Alam kelmarin. – FOTO KEDAH DARUL AMAN FC

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak mahu pemain sentiasa belajar daripada setiap kesilapan dilakukan dalam lima perlawanan persahabatan yang diatur sebelum bermulanya Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menurut Aidil, beliau melihat masih ada kesilapan dilakukan pemain yang boleh membawa padah kepada KDA FC sewaktu mereka bertemu Selangor 2 malam kelmarin.

“Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama, namun ada beberapa kesilapan di bahagian pertahanan yang perlu diperbetulkan selepas ini.

“Pada separuh masa kedua kita melakukan beberapa pertukaran pemain dan sekali lagi, kesilapan berlaku. Saya harap pemain-pemain ini akan belajar daripada apa yang berlaku sebelum kita memulakan saingan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 5 Mac depan,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kelmarin, Kedah berjaya menca­tat kemenangan 3-2 ke atas pasukan Selangor 2.

Ini merupakan perlawanan persahabatan ketiga KDA FC setelah dua kali bertemu Penang FC pada 18 dan 21 Februari lalu. Selepas ini, KDA FC akan mengharungi dua lagi perlawanan persahabatan menentang Projek MSN-FAM dan Sarawak United pada esok dan lusa.

Mengulas lanjut, Aidil memberitahu, secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan perkembangan ditunjukkan pemain yang rata-ratanya dilihat memahami rentak permainan.

“Paling penting pemain faham objektif yang dimahukan seperti kecergasan dan kombinasi permainan. Seperti saya nyatakan sebelum ini, keputusan tidak pen­ting, namun kemenangan sebegini sedikit sebanyak menambah moral dalam persiapan,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan baharu KDA FC, Rodney Calvin berkata, dia secara peri­badi belum berpuas hati dengan prestasi dirinya biarpun berpeluang bermain selama 90 minit kelmarin.

“Masih banyak perlu diperbaiki dan saya yakin jurulatih juga tahu apa yang perlu saya dan rakan sepasukan harus lakukan selepas ini.

“Diharap kami dapat terus memperbaiki keadaan pada perlawanan mendatang. Pada masa ini, kami tidak boleh lagi bersikap sambil lewa dan perlu serius mempersiapkan pasukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI