SEAWAL pukul 7 pagi, lelaki berusia 65 tahun itu sudah keluar dari rumah untuk bersiar-siar dengan basikal selama dua hingga tiga jam di sekitar Bandar Baru Bangi, Selangor.
Usai aktiviti kayuhan basikal, Datuk Sabiamad Abdul Ahad terus singgah ke Ladang Ayam Eksotik miliknya yang terletak kira-kira lima kilometer dari Plaza Tol Kajang.
Di sana, dia akan menghabiskan masa selama seharian bagi memantau perkembangan dan memberi makan setiap ayam yang dipelihara di ladang seluas 1.27 hektar itu.
Sabiamad turut memanfaatkan kesempatan tersebut untuk membelai bulu serta bermain dengan setiap unggas yang terdapat di ladang tersebut.
Itulah rutin harian bapa kepada lima cahaya mata itu sejak dua tahun lalu selepas membuka Ladang Ayam Eksotik bagi mengisi masa lapangnya.

“Saya banyak menghabiskan masa lapang di sini sambil melakukan kerja-kerja seperti memberi makan dan membelai setiap ayam di sini.
“Bagi saya, ia merupakan satu terapi yang sangat baik apabila kembali hidup solo selepas kematian isteri tercinta,” kata bekas atlet menembak itu ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Sabiamad pernah mengharumkan nama negara dalam temasya sukan di peringkat Asia Tenggara, Asia dan dunia. Sabiamad ialah pemenang pingat emas Sukan SEA 1983 di Singapura dan turut beraksi di pentas Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Menarik mengenai ladang ternakan Sabiamad, ayam yang dipeliharanya bukanlah spesies biasa yang banyak terdapat di negara ini, sebaliknya haiwan tersebut daripada baka Brahma.
Brahma merupakan baka yang dikembangkan di AS daripada unggas diimport dari Shanghai, China. Ayam itu merupakan ayam baka daging utama di negara Uncle Sam dari tahun 1850-an hingga sekitar tahun 1930.
Selain dagingnya, Brahma turut menjadi pilihan untuk dipelihara disebabkan memiliki rupa bentuk elegan terutamanya dari aspek bulu yang tebal dengan kombinasi warna-warna berkilat.
Ayam ini dapat dikenal pasti daripada rupanya yang bertubuh besar dan berbulu termasuk pada kaki. Berat ayam Brahma antara 9 hingga 12 kilogram (kg)sedangkan ayam biasa antara 1 hingga 3kg.
Sabiamad memaklumkan, dia memilih untuk memelihara ayam Brahma disebabkan sifat jinaknya selain rupa paras yang anggun dengan bulu berwarna-warni pada tubuh dan kepala.

“Saya dibesarkan dalam suasana kampung dengan memelihara haiwan seperti ayam, lembu dan kambing. Apabila berhijrah ke ibu negara, saya mempunyai sekeping tanah yang sesuai untuk memelihara
ayam.
“Saya memilih untuk memelihara ayam baka Brahma disebabkan ia mudah dipelihara dan jinak dengan manusia. Saya boleh memberikan makanan ayam ini secara terus menggunakan tangan,” katanya yang berasal dari Muar, Johor.
Bercerita lanjut, pada peringkat awal pembabitannya dalam bidang penternakan, dia bermula dengan memelihara 1,200 ekor itik.
Bagaimanapun, pulangan daripada penternakan itik kurang memberangsangkan sekali gus menyebabkan Sabiamad beralih memelihara ayam Brahma kerana harganya yang lebih tinggi.
“Ketika ini terdapat sebanyak 60 ekor baka ayam Brahma di ladang ini dengan pelbagai variasi jenis dan warna.
“Rata-rata ayam di sini diperoleh daripada rakan-rakan yang memeliharanya. Ada juga yang saya dapatkan daripada penternak di Thailand, Turki dan Indonesia.

“Selepas memeliharanya, saya dapati harga ayam ini lebih mahal di pasaran selain mendapat permintaan lebih tinggi terutama dalam kalangan penggemarnya,” ujarnya.
Sabiamad memaklumkan, dia pernah menjual seekor anak ayam baka Brahma berusia seminggu dengan harga RM60 seekor.
Bagi ayam dewasa pula, harganya boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada susuk tubuh dan kombinasi warna pada bulunya.
Bagaimanapun, dia memilih untuk menghentikan penjualan anak Brahma disebabkan ingin memperbanyak bilangan ayam di ladang berkenaan.
“Ketika saya jual anak ayam sebelum ini, tidak menang tangan juga saya dibuatnya kerana permintaan sangat menggalakkan daripada para pelanggan.
“Kini, saya berhenti dahulu menjual anak ayam ini selepas memasang hasrat untuk mengumpul lebih banyak ayam dan mengadakan pameran Brahma terbesar di Malaysia suatu hari nanti,” ujarnya.
Selain Sabiamad, ladang berkenaan turut diuruskan oleh seorang pengurus yang juga menantunya sendiri, Azrie Adnan, 27.

Azrie memaklumkan, rutin penjagaan ayam baka Brahma sangat mudah berbanding unggas jenis lain terutamanya dari aspek pemakanan, kebersihan dan kawalan penyakit.
Katanya, ayam Brahma hanya perlu diberi makan dedak yang berupa campuran bijirin seperti beras dan jagung sejak usia kecil sehingga meningkat dewasa.
“Selepas lahir hingga usia tujuh bulan, kami akan beri dedak daging untuk tumbesarannya. Kemudian, ayam perlu diberi dedak pembaka bagi membolehkan ia mengawan dan bertelur,” ujarnya.
Telur-telur yang diperoleh kemudian akan dimasukan di dalam inkubator khas selama 21 hari untuk proses penetasan.
Daripada jumlah telur yang dieramkan, hanya 70 peratus anak ayam akan menetas dan membesar dengan sihat, manakala selebihnya mati akibat penyakit.
Menurut Azrie, ayam Brahma terdedah kepada beberapa penyakit yang boleh membawa maut seperti bengkak mata serta kaki bersisik.
“Ayam Brahma biasanya sangat kuat dan sihat. Tetapi terdapat beberapa aspek perlu diawasi iaitu bahagian mata dan bulu kaki yang mudah dijangkiti hama,” tegasnya.

Tambahnya, aspek kebersihan ladang sentiasa menjadi perkara utama yang dititik berat bagi memastikan kesihatan ayam.
Dia menambah, ladang akan dicuci sekerap mungkin menggunakan air bersih bagi memastikan kawasan sekitar bebas daripada pencemaran bau dan penyakit.
“Perkara utama yang ditekankan di ladang ini adalah kebersihan kerana kami tidak mahu jiran-jiran mengadu mengenai bau busuk. Kami juga menggunakan habuk kayu bagi memastikan najis ayam sentiasa kering dan bebas bau busuk,” ujarnya.
Selain ayam Brahma, Ladang Ayam Eksotik itu turut menempatkan unggas lain seperti ayam hutan, ayam Poland, ayam cemani, itik dan ayam Belanda.
Azrie memberitahu, ladang berkenaan membuka pintu kepada pelawat yang ingin melihat dan mengenali ayam-ayam di situ dengan lebih mendalam secara percuma.














