fbpx

TNB buat persiapan ketibaan vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di pusat penyimpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin Covid-19 di seluruh negara kekal stabil sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagiannya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, bekalan elektrik yang stabil diperlukan kerana vaksin tersebut perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

“Perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dan sedang diteruskan bagi memperinci keperluan KKM terutama melibatkan usaha mengelakkan gangguan bekalan di lokasi penyimpanan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Baharin berkata, TNB akan memastikan sistem bekalan elektrik utama dan alternatif beroperasi dengan baik di semua pusat penyimpanan dan pusat pemberian vaksin.

Menurut beliau, TNB juga merangka pelan kontigensi pemulihan bekalan dengan pantas di beberapa pencawang yang dikenal pasti melalui pemasangan sistem pengalihan bekalan secara automasi kawalan jauh.

Tambah beliau, bagi mengelakkan kegagalan pada sistem, kerja-kerja penyelenggaraan condition-based
maintenance (CBM) terhadap pencawang dan pembekal elektrik ke pusat penyimpanan vaksin telah dilaksanakan.

Datuk Ir. Baharin Din.

 

Kata beliau, TNB juga melakukan sesi keterlibatan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan untuk memastikan set janakuasa mereka berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan.

Katanya lagi, pasukan teknikal TNB akan berada dalam keadaan siap sedia serta set-set janakuasa bergerak akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan tindakan yang pantas dapat diambil jika berlaku sebarang gangguan bekalan di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

“TNB turut telah menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas) kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta kontraktor yang melakukan kerja pengorekan berhampiran kabel bawah tanah TNB supaya menghubungi TNB sebelum memulakan kerja bagi mengelak kerosakan pada kabel yang boleh menyebabkan gangguan bekalan di pusat-pusat penyimpanan vaksin. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI