fbpx

Kapasiti bekalan elektrik Semenanjung Malaysia cecah 25,962MW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SPG kini menyalurkan 1,440MW bekalan elektrik kepada grid nasional menerusi dua loji janakuasa tarbin gas kitaran gabungan (CCGT) masing-masing berkapasiti 720MW.

PETALING JAYA – Kapasiti penjanaan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia kini mencecah kepada 25,962 megawatt (MW).

Ia selepas loji jana kuasa elektrik Southern Power Generation Sdn. Bbd. (SPG) kendalian REMACO, anak syarikat TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Power Generation) mula beroperasi pada tahap penuh.

Pengarah Urusan TNB Power Generation, Datuk Nor Azman Mufti berkata, SPG kini menyalurkan 1,440 megawatt (MW) bekalan elektrik kepada grid nasional menerusi dua loji janakuasa tarbin gas kitaran gabungan (CCGT) masing-masing berkapasiti 720MW.

“SPG kini beroperasi pada tahap penuh kapasiti penjanaannya berikutan Unit 2 Loji Janakuasa Tarbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berjaya mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada pukul 12 tengah malam, 19 Februari 2021.

“Unit 1 juga mencapai tarikh operasi komersial pada 1 Januari 2021. Dengan tercapai COD Unit 2 ini, 720MW lagi penjanaan disalurkan kepada kapasiti penjanaan sedia ada di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Azman berkata, kedua-dua loji itu terletak di lokasi strategik di Pasir Gudang, Johor dan berperanan penting dalam mengukuhkan kestabilan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, kedua-dua loji itu menggunakan gas asli sebagai bahan bakar utama dan bekalan elektrik yang dijana menggunakan teknologi tarbin pembakaran 9HA.02 daripada General Electric (GE) dijangka mencapai kecekapan loji kitarpadu melebihi 60 peratus.

“SPG adalah loji janakuasa komersial pertama di dunia yang menggunakan tarbin gas 9HA.02 terbaharu dan paling cekap dihasilkan GE,” katanya.

Jelasnya, TNB dan TNB Power Generation selaku anak syarikat memiliki saham majoriti 70 peratus dalam SPG sementara SIPP Energy Sdn. Bhd. memegang baki 30 peratus. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI