fbpx

Sindiket penjualan setem hasil raih RM8,000 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian barangan yang dirampas pihak berkuasa

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendedahkan anggota sindiket penjualan setem hasil kerajaan dan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang ditahan baru-baru ini meraih keuntungan sehingga RM8,000 sebulan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket berkenaan menyebabkan kerajaan kerugian hampir RM2.16 juta setiap tahun.

Beliau berkata, siasatan mendapati, modus operandi digunakan sindiket bermula dengan pekerja syarikat percetakan menyeludup keluar sebahagian buku pelekat keselamatan imigresen dari stor syarikat.

“Pekerja itu kemudiannya menjual buku pelekat tersebut kepada anggota sindiket dengan harga di antara RM700 hingga RM800 sekeping yang mana setiap buku mengandungi sebanyak 50 keping pelekat.

“Kerajaan dianggarkan kerugian sebanyak RM1,800 bagi setiap keping pelekat yang dijual dan digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) disebabkan JIM tidak dapat mengutip hasil levi, bayaran pas dan bayaran proses yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Antara barangan yang dirampas

Katanya, kegiatan sindiket itu jelas boleh menggugat keselamatan negara serta menyebabkan kepada ketirisan kutipan hasil kerajaan.

Khairul Dzaimee berkata, JIM tidak akan berkompromi dengan kegiatan seperti ini dan akan meneruskan operasi bersepadu sebagai langkah berterusan menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

Sebelum ini, JIM dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menahan tujuh lelaki tempatan menerusi Ops Sticker sejak 14 Februari lalu.

Kesemua suspek dipercayai terbabit secara langsung dalam kegiatan penjualan pelekat keselamatan imigresen tulen yang bercetak kepada sindiket pemalsuan pas imigresen.

Sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan menjual pelekat keselamatan tulen dan didalangi oleh rakyat tempatan yang mendapat bekalan pelekat tulen daripada individu yang bekerja dengan sebuah syarikat percetakan yang menjadi pembekal kepada JIM. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI