fbpx

[VIDEO] Harimau mengganas di Lubuk Periuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUMANI (kiri) dan rakan penternaknya, Ahmad Ngah menunjukkan kepala lembu yang dibaham harimau di Kampung Lubuk Periuk, Khamis lalu.

HULU TERENGGANU – Lima penternak lembu di Kampung Lubuk Periuk dekat sini dalam ketakutan selepas kandang ternakan mereka diserang seekor harimau belang sejak Khamis lalu.

Setakat ini, dua ekor lembu telah dibaham haiwan liar berkenaan termasuk pada awal pagi kelmarin melibatkan kerugian lebih RM3,500.

Harimau jantan dewasa sama dipercayai berasal dari Hutan Simpan Dungun berhampiran juga dipercayai pernah membaham empat ekor lembu penternak sepanjang tahun lalu.

Seorang penternak, Sumani Mohamad, 59, berkata, dia menyedari seekor daripada lebih 80 ekor haiwan peliharaan nya dibaham harimau itu sewaktu menjenguk kandang lembunya pada pukul 7 pagi, Khamis lalu.

“Saya perasan ada anak lembu tak cukup, saya percaya anak lembu tersebut sudah dibaham harimau selepas terjumpa tapak kaki haiwan liar itu yang masih baru kira-kira 50 meter dari kandang tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di kandang lembunya yang terletak berhampiran sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Lubuk Periuk dekat sini semalam.

KESAN tapak kaki harimau yang dipercayai membaham lembu di ladang kelapa sawit Kampung Lubuk Periuk, Hulu Terengganu Khamis lalu.

Sumani berkata, seekor lagi lembu berusia dua tahun seberat kira-kira 30 kilogram (kg) pula dibaham harimau belang terbabit pada awal pagi kelmarin.

Dia berkata, penemuan bangkai lembu tersebut yang cuma tinggal kepala, perut dan sebahagian kaki dimaklumkan seorang buruh ladang warga Indonesia di kawasan kebun kelapa sawit pada pukul 9 pagi kelmarin.

“Kalau ikutkan masalah harimau mengganggu lembu ternakan kami bukan baharu, hampir 20 ekor sudah dibaham sejak 10 tahun lalu.

“Begitupun, sebelum ini serangan Pak Belang tersebut tidaklah terlalu kerap. Kali ini sudah dua ekor lembu mati dibaham dalam tempoh kurang dua bulan,” katanya.

Seorang lagi penternak, Muhammad Razif Wadoi, 30, pula berhadapan saat cemas terserempak dengan harimau seberat kira-kira 100kg berkenaan pada Jumaat lalu.

Ceritanya, harimau yang setinggi lebih 1.4 meter itu melompat parit berhampiran kandang lembu ternakan mereka sebelum masuk belukar berhampiran.

“Kami percaya harimau belang itu masih berkeliaran di kawasan kebun kelapa sawit yang hanya terletak kira-kira 5 kilometer dari jalan besar berikutan penemuan tapak kakinya.

Kosmo! 10 Disember lalu melaporkan seekor haiwan belang mengganas membaham lebih 25 ekor lembu ternakan 30 peneroka Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya, Dungun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI