fbpx

Pasangan kekasih lepas rindu di tepi sungai dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazuki menyampaikan beg cenderamata di SJR Jalan Dewan Parit Buntar hari ini.- Foto Wat Kamal Abas

PARIT BUNTAR – Padah duduk berdua-duan untuk melepaskan kerinduan di pinggiran Sungai Kerian ketika dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sepasang kekasih dikompaun polis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pasangan kekasih yang berusia 21 dan 24 tahun itu sedang berdua-duan di kawasan tersebut ketika sepasukan polis dari Balai Polis Parit Buntar membuat rondaan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Mereka berdua didapati gagal mematuhi SOP iaitu duduk berdua-duaan yang tidak dibenarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh pelaksanaan PKP sehingga 18 Febuari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 200 beg cenderamata kepada pengguna jalan raya di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Abdul Raof sumbangan Team Kampit Rezeki dan Yayasan Amal Malaysia Perak hari ini.

Tambah Mazuki, wanita berkenaan tinggal di Kampung Bagan Samak, Bandar Baru, Kedah telah melalui SJR di Jalan Abdul Raof yang berada di sempadan negeri Perak-Kedah dengan alasan mempunyai urusan penting dengan sebuah bank di kawasan ini.

“Setelah urusannya selesai, dia dipercayai telah mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan teman lelakinya di pinggiran Sungai Kerian ini.

“Mereka berdua telah dikompaun di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2000,” katanya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI