fbpx

Jual lebih 10,000 patung beruang saiz manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RADZIMAN (topi) bersama rakan niaganya mula menjual beruang Teddy Bambambear bersaiz manusia bersama rakan niaga Aminur pada tahun 2016.

SIAPA yang tidak tersenyum lebar tatkala menerima beruang Teddy bersaiz manusia sebagai hadiah?

Lebih-lebih lagi apabila patung beruang bersaiz luar biasa itu sukar untuk dicari dan jarang sekali dilihat dijual di mana-mana kedai berhampiran kediaman.

Itulah yang dilakukan seorang anak muda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian di Universiti Malaysia Pahang, Radziman Rani, 28, yang mengambil peluang untuk menjual beruang Teddy bersaiz manusia dikenali sebagai Bambambear bersama rakan niaganya, Aminur Rahim.

“Perniagaan menjual beruang Teddy ini dibuat selepas melihat potensi barangan hadiah yang mendapat permintaan daripada orang awam hampir setiap masa.

“Jadi, kami mula mencari barangan yang mempunyai permintaan di pasaran, tetapi kurang ditawarkan di pasaran semasa dan idea untuk menjual beruang Teddy timbul.

“Begitupun, kami memfokuskan pada penjualan beruang Teddy bersaiz besar kerana tidak banyak kedai yang menjual patung beruang pada saiz tersebut,” katanya.

Menurut pemuda kelahiran Puchong, Selangor ini, sebelum menjalankan perniagaan itu, dia pernah menceburkan diri dalam beberapa bisnes lain. Bagaimanapun, kesemua perniagaan tersebut tidak bertahan lama.

“Saya memang sukakan cabaran. Saya mula berniaga sejak di bangku sekolah seawal usia 17 tahun dengan menjual kad prabayar isian semula.

“Saya juga pernah menjual burger tetapi gagal. Selepas itu, kami menjual semua peralatan perniagaan tersebut dan mulakan perniagaan menjual beruang Teddy,” ceritanya.

Mula mempertaruhkan patung beruang gergasi di pasaran sejak tahun 2016, siapa sangka ia semakin mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat, sekali gus membolehkan perniagaannya berkembang dan bertahan sehingga ke hari ini.

Bermula dengan menjual kira-kira lima beruang Teddy sehari, namun dek permintaan tinggi, jualan terus meningkat hingga pernah mencecah ribuan unit sehari.

Sehingga kini, beruang Teddy yang dikeluarkan syarikat Radziman berjaya dijual lebih 10,000 unit.

Berkat kesabarannya bergelumang dalam selok-belok dunia perniagaan, membolehkan dia melebarkan operasi perniagaan daripada menyewa sebuah lot kedai kepada lebih 10 lot.

BERUANG Teddy dijual pada harga bermula harga RM50 hingga RM250.

Lebih membanggakan apabila Radziman juga merupakan pengimport langsung beruang Teddy Bumiputera terbesar di sekitar Lembah Klang.
Bagi memenuhi permintaan ramai, beruang tersebut dijual pada tiga saiz berbeza iaitu 180 sentimeter (cm), 160cm dan 100cm. Ia dijual pada harga bermula RM50 hingga RM250.

Bermula dengan memfokuskan perniagaan menerusi penjualan barangan tersebut, Radziman kemudian berjaya meneroka produk lain seperti seperti mainan kartun dan bantal bagi ibu mengandung. Ini bagi memberikan keselesaan buat ibu hamil melalui fasa kehamilan.

“Kesemua barangan tersebut dibuat berasaskan polyester dan harga yang ditawarkan pula adalah berpatutan.

“Kami menggunakan strategi runcit dan ejen untuk memasarkan produk kami selain menggunakan sistem e-dagang,” ujarnya.

Tatkala negara berdepan pandemik Covid-19 hingga banyak perniagaan terjejas, Radziman bersyukur kerana perniagaannya mampu bertahan.

Permintaan daripada orang ramai juga semakin bertambah memandangkan mereka tidak tertumpu kepada kedai fizikal.

Sebaliknya, secara dalam talian bagi memudahkan pembeli untuk mendapatkan barang kami, selain boleh memasarkan produk ke seluruh negara.

“Kami bercadang bekerjasama dengan peniaga yang menjalankan perniagaan surprise delivery bagi memasarkan beruang Teddy.

“Untuk jangka masa panjang, kami merancang untuk membuka sebuah kilang bagi menambahkan kapasiti pengeluaran beruang Teddy bagi memenuhi permintaan pasaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI