fbpx

Tipu disamun untuk elak bayar denda hilang MyKad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GUA MUSANG – Seorang pemandu jentolak ditahan selepas dipercayai membuat laporan polis palsu kononnya dia disamun dua lelaki kerana mahu mengelak daripada membayar denda selepas dia kehilangan MyKad hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan lelaki berusia 41 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada pukul 12 tengah hari.

Katanya, berdasarkan laporan suspek, dia memberitahu dirinya disamun dua lelaki menaiki motosikal ketika berada di lokasi kejadian yang terletak di tepi jalan berhampiran Gua Sejuk pada pukul 6.30 pagi tadi.

“Lelaki itu mengatakan dia sedang dalam perjalanan dari kampung Sungai Rakit ke tempat kerja di tempat pembuangan sampah Batu 5 dengan menaiki kereta.

“Apabila tiba di lokasi, suspek telah berhenti di tepi bahu jalan untuk membantu lelaki yang rosak motosikal, namun dompetnya pula disamun. Lelaki itu mendakwa kehilangan MyKad, kad bank dan wang tunai sebanyak RM300,” katanya.

Choon Foo berkata, selepas siasatan dilakukan, polis mendapati kejadian samun itu tidak berlaku seperti didakwa lelaki berkenaan.

Katanya, suspek kemudian mengaku membuat laporan polis palsu kerana mahu mengelak bayaran denda daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan.

“Lelaki itu juga didapati sudah dua kali kehilangan MyKad kerana cuai.

“Selain itu, dia mengaku telah diajar oleh rakannya untuk membuat laporan palsu di IPD Gua Musang untuk mendapatkan kad pengenalan diri baru di JPN tanpa dikenakan sebarang bayaran denda,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI