fbpx

Kilang sarung tangan diserbu seleweng gas LPG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAS LPG bersubsidi yang diseleweng ditemui di kilang memproses sarung tangan getah di Kampung Assam Jawa, Kuala Selangor.

KUALA SELANGOR – Kecurigaan penghantaran gas petroleum cecair (LPG) kepada sebuah kilang memproses sarung tangan getah di Kampung Assam Jawa di sini setiap hari ternyata berasas apabila membongkar aktiviti penyelewengan gas bersubsidi, semalam.

Dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor kira-kira pukul 3.30 petang itu mendapati, aktiviti tersebut berlangsung selama enam bulan.

Pengarahnya, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan itu hasil risikan selama dua bulan terhadap kegiatan yang berselindung di sebalik kilang memproses sarung tangan getah itu yang beroperasi sejak sembilan bulan.

Katanya, pasaran produk sarung tangan itu adalah bagi dalam negara.

“Kilang berkenaan mula menggunakan gas LPG bersubsidi sejak 6 bulan yang lalu berikutan harganya jauh lebih murah daripada gas petroleum cecair industri.

“Bekalan gas petroleum cecair bersubsidi diperoleh dari satu syarikat pembekal berlesen yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur susulan penemuan resit di kilang itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati dianggarkan penggunaan gas LPG bersubsidi oleh kilang terbabit setiap bulan adalah mencecah 1,000 silinder.

Muhammad Zikril menambah, semasa pemeriksaan terdapat seorang lelaki berusia 52 tahun yang disyaki sebagai pemilik syarikat berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah 166 silinder gas LPG bersubsidi yang berisi serta 159 gas yang tidak berisi.

“Kita turut menyita sebuah lori jenama Hino yang digunakan untuk mengangkut gas LPG berkenaan,” jelasnya.

Kata beliau, nilai rampasan bagi gas LPG dianggarkan RM45,000 dengan keseluruhan rampasan berjumlah RM75,000.

“Susulan penyelewengan itu menyebabkan kerajaan kehilangan nilai subsidi hampir RM200,000.

“Bagaimanapun, nilai subsidi yang berjaya diselamatkan pada serbuan yang dijalankan semalam kira-kira berjumlah RM8,000,” ujarnya.

Kes disiasat dibawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI