fbpx

Anggota, pesara tentera siapkan rumah sendiri selepas dianiaya pemaju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN pesara tentera yang mengambil keputusan untuk menyiapkan sendiri rumah terbengkalai yang dibeli mereka di Jeram Pasu Pasir Puteh sejak 15 tahun lalu.

PASIR PUTEH – Seramai 200 anggota dan pesara tentera mendakwa mereka tertipu selepas membeli rumah di sebuah taman perumahan di sini apabila pemaju gagal menepati janji untuk menyiapkan projek pembinaan sejak 15 tahun lalu.

Pengerusi persatuan taman perumahan itu, Mohd. Solahuddin Mohamad berkata, meskipun projek terbengkalai, pembeli tetap perlu membayar pinjaman sebanyak RM400 hingga RM1,000 sebulan sedangkan kediaman yang dijanjikan syarikat berkenaan itu belum siap.

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) seharusnya mengambil berat tindakan tegas terhadap pemaju selain membantu pembeli terutamanya pesara tentera yang ingin tinggal di kampung halaman yang sepatutnya siap pada 2008.

“Pembeli rumah terpaksa menyiapkan sendiri rumah mereka meskipun harga bahan binaan kini semakin tinggi. Kami terpaksa mengambil inisiatif sendiri kerana tiada sebarang pembelaan dan perkembangan positif.

“Saya yang bersara sejak tujuh tahun lalu membayar RM615 sebulan untuk rumah yang terbengkalai ini dan RM450 untuk menyewa rumah. Hanya lebihan RM500 bayaran pencen dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Mohd. Solahuddin berkata, sebahagian pembeli lain di sini hanya mampu berputih mata apabila rumah yang dijanjikan kini masih sebidang tapak kosong yang dipenuhi semak dan sebahagian lagi hanya binaan cerucuk tiang.

Seorang pembeli rumah, Amran Awang, 41 berkata, pembeli sudah tidak tahan dengan kerenah syarikat pemaju yang mengambil wang tanpa menyiapkan rumah yang dijanjikan.

“Saya telah mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM50,000 untuk menyiapkan rumah ini sebelum tinggal di sini secara sah.

“Kami telah dianiaya oleh syarikat perumahan yang membuka tender pada tahun 2006. Mereka menjanjikan projek itu akan siap dua tahun kemudian, namun kini masih tinggal bayang,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI