fbpx

Piala FA jadi ‘korban’ disebabkan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI, WARTAWAN EKSEKUTIF

KEHANGATAN saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin dirasai peminat sukan bola sepak tempatan dengan aksi sepak mula musim 2021 dijadualkan berlangsung pada 5 Mac depan.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 tahun lalu hampir melumpuhkan industri sukan tanah air dan antarabangsa.

Ia berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak menjejaskan perancangan pramusim yang dilakukan pasukan dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Keputusan itu sememangnya merencatkan kehangatan Liga M yang pada awalnya dirancang 26 Februari tetapi terpaksa dianjakkan tarikh lain bagi memberi ruang buat pasukan mendapatkan
tempoh latihan yang cukup.

Lebih mengejutkan, MFL turut membatalkan kejohanan Piala FA buat tahun kedua berturut-turut bagi memastikan pasukan tidak dibebani dengan jadual padat sekali gus memberikan impak kepada kualiti Liga M.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan mengakui keputusan itu dicapai selepas berbincang dengan Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL dan persetujuan wakil-wakil pasukan dalam satu taklimat khas baru-baru ini.

MFL turut menyediakan beberapa mekanisme seperti prosedur operasi standard (SOP) latihan yang lebih ketat dan latihan kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan perjalanan liga lebih selamat.

“Status pandemik berada di paras yang cukup membimbangkan selain status PKP menyebabkan MFL bersedia dengan langkah awal menunda tarikh sepak mula kepada 5 Mac depan.

“Keputusan dibuat berdasarkan permintaan rakan kongsi Liga M yang mahukan persiapan pasukan sekurang-kurangnya dijalankan selama tiga minggu sebelum sepak mula.

“Tiada kejohanan Piala FA se perti tahun lalu. Keputusan dibuat demi memastikan keseimbangan jadual dan pasukan tidak terbeban jadual padat.

“Bagaimanapun, MFL juga membuat keputusan kalendar Liga Malaysia 2021 menyaksikan Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala Cabaran diteruskan, ” katanya.

Sementara itu, kapten pasukan Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd. Radzak memahami jadual padat yang akan ditempuhi semua pasukan sekiranya Piala FA tetap diteruskan.

Kata Zaquan, sebagai pemain, mereka memerlukan tempoh masa yang mencukupi untuk berehat selepas perlawanan.

Apatah lagi dalam situasi sekarang, adalah wajar agar semua pihak memahami sesuatu keputusan yang diambil demi kebaikan semua pasukan.

“Sebelum Covid-19 melanda, memang kita boleh harungi semua perlawanan yang mana kita ada ruang dan masa mengikut seperti apa yang dirancang.

“Namun, dalam situasi pandemik sekarang, kita tahu agak mustahil hendak menempuh semua saingan dalam satu masa singkat.

“Saya berpendapat MFL buat keputusan yang wajar sekurangkurangnya kita masih lagi boleh beraksi dalam Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala Cabaran musim ini,” jelasnya.

Sementara itu, pengurus Sri Pahang FC, Dollah Salleh menyatakan keselamatan pemain dan pengawai menjadi faktor paling penting pada ketika ini.

“Sudah tentu kita tidak mahu wujudnya kluster membabitkan pemain, jadi memang wajar Liga Malaysia ditangguh.

“Saya juga tiada masalah menerima hakikat tiada pertandingan Piala FA musim ini kerana sememangnya itu yang terbaik kepada semua pihak,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI