fbpx

K2

Pak Abu Yong Tau Foo sejak tahun 1983

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENGKU ANIZAN menunjukkan aneka yong tau fu yang ditawarkan di Pak Abu Yong Tau Foo yang terletak di Jalan Sri Manja, Petaling Jaya Selangor

MENGGUNAKAN resipi turun-temurun keluarga yang berusia lebih lapan dekad menjadikan restoran Pak Abu Yong Tau Foo cukup unik dan istimewa untuk dicuba oleh penggemar makanan tersebut.

Terletak di Jalan Sri Manja 12, Petaling Jaya, Pak Abu Yong Tau Foo mengetengahkan resipi original dari Pulau Pinang dengan menawarkan pelbagai jenis kuah seperti kari, tomyam, bawang putih, sup dan kicap manis.

Menurut Pengurus Pak Abu Yong Tau Foo, Engku Anizan Engku Azmi, pemilik restoran tersebut merupakan cucu kepada Pak Abu yang mengusahakan yong tau fu di Pulau Pinang pada tahun 1983.

“Pak Abu merupakan seorang nelayan dan beliau mencipta resipi membuat yong tau fu lalu menjual kepada penduduk sekitar sehingga mendapat sambutan yang sangat baik pada ketika itu.

“Setelah pemergian beliau, cucunya ingin meneruskan resipi Pak Abu dengan membuka Pak Abu Yong Tau Foo sejak setahun yang lalu,” ceritanya kepada K2 baru-baru ini.

Tambahnya, antara kuah yong tau fu yang paling mendapat sambutan tinggi ialah sup dan kari.

 

KUAH bawang putih menu yong tau fu yang jarang ditemui di tempat lain.

Restoran tersebut menawarkan lebih 50 jenis bebola yang dihasilkan sendiri oleh para petugas restoran tersebut dengan menggunakan resipi warisan itu.

“Antara bebola tersebut seperti sotong, udang, ketam, daging, selain turut disediakan inti keju, telur ikan dan dakwat sotong.

“Kami juga menyediakan sayuran berinti ikan tenggiri seperti yong tau fu bendi, terung, cili hijau, cili merah, peria dan cendawan,” ujarnya sambil memberitahu, mereka menggunakan bahan-bahan segar tanpa bahan perisa monosodium glutamate (MSG).

Harga yang ditawarkan sangat berpatutan iaitu bermula 60 sen untuk sebiji bebola dan pelanggan boleh mendapatkan yong tau fu dengan satu set air pada harga RM10.

Pelanggan juga boleh memilih 10 pilihan mi untuk dinikmati bersama yong tau fu dan tidak ketinggalan aneka makanan laut.

Turut ditawarkan pelbagai nasi goreng, sotong kangkung, tauhu sumbat serta dimsum.

 

YONG tau fu kuah sup antara yang mendapat sambutan hangat pelanggan.

Sementara itu, bagi pencuci mulut pula diberi nama surat khabar yang mana ia dihidangkan bersama madu, cincau, sagu, santan, gula melaka dan aiskrim vanilla.

Terdapat juga pisang berangan bersalut coklat dan kacang bagi mereka yang inginkan hidangan pencuci mulut ringkas.

Justeru, tidak hairanlah Pak Abu Yong Tau Foo menjadi tempat pilihan seisi keluarga untuk menikmati juadah kerana menyediakan pelbagai hidangan enak dan tempat selesa.

Pak Abu Yong Tau Foo boleh memuatkan 62 orang pada satu-satu masa dan beroperasi bermula pukul 11 pagi hingga 10 malam ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Engku Anizan memberitahu, pihaknya turut merancang untuk membuka cawangan beberapa cawangan di sekitar Lembah Klang pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI