fbpx

RM186 juta, kos tukar paip dan meter lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) merancang untuk menukar paip lama jenis ‘asbestos cement’ sepanjang 150 kilometer menerusi Program Penggantian Paip Lama pada tahun ini bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

Ketu Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, syarikat itu memperuntukkan RM293 juta dengan RM170 juta daripadanya adalah untuk Program Penggantian Paip Lama yang kritikal manakala RM16 juta untuk penukaran meter lama dan rosak.

“Rancangan itu merupakan antara petunjuk prestasi utama (KPI) yang dirangka Pengurusan Air Selangor pada tahun ini.

“KPI lain merangkumi pasukan pakar kebocoran dan pemeriksa kebocoran Air Selangor yang perlu mengesan sekurang-kurangnya 78,000 kes paip bocor pada saluran paip pengagihan dalam Program Pengesanan Kebocoran Secara Aktif,” katanya pada sidang akhbar secara maya hari ini.

Suhaimi berkata, ia turut melibatkan penubuhan 75 Zon Pemeteran Daerah (DMZ) dalam Program Pembentukan Zon Pemeteran Daerah dan meneruskan pemasangan sensor pada paip utama yang dianggarkan berjumlah 1,780 sensor.

“Pemasangan sensor itu bagi mengesan ‘pressure transient’ dan kebocoran pada peringkat awal serta penggunaan 3,000 alat pengesan kebocoran kekal pada paip retikulasi di 60 Zon Pemeteran Daerah.

“Air Selangor juga telah berjaya menurunkan purata NRW kepada 28.6 peratus pada tahun lepas berbanding 29.7 peratus pada 2019, iaitu melebihi sasaran ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meskipun berdepan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelasnya.

Dalam pada itu Suhaimi berkata, Air Selangor juga komited untuk mengurangkan kadar NRW pada tahap 25 peratus pada tahun 2025 dan seterusnya ke tahap 15 peratus menjelang tahun 2049. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI