fbpx

Sunway beli tanah di Cheras pada harga RM42 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sunway Bhd. (Sunway) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sunway Kinrara Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian jual beli untuk mengambil alih sebidang tanah berstatus pegangan bebas di kawasan kejiranan Taman Mutiara, di sini melibatkan nilai RM42 juta.

Tanah seluas 1.35 hektar itu dibeli daripada CTM Development Sdn. Bhd. bagi tujuan pembinaan rumah bandar dan kondominium yang bakal memasukkan elemen gaya hidup norma baharu.

Projek tersebut terletak di kawasan strategik kira-kira 400 meter daripada EkoCheras Mall.

Ia dihubungkan terus ke ste­sen MRT Taman Mutiara, selain dikelilingi pelbagai kemudahan pada radius lima kilometer se­perti Sunway Velocity, Hospital Pantai Cheras, Pusat Perubatan UKM dan Universiti UCSI.

Kawasan tersebut turut dilengkapi akses mudah ke Le­buhraya Cheras-Kajang dan Jalan Lingkaran Tengah Kuala Lumpur 2.

Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah berkata, pihaknya merancang untuk membangunkan kediaman ­eksklusif yang terdiri daripada 255 unit rumah bandar dan kondominium dengan luas binaan sedikit lebih besar untuk menampung gaya hidup baharu, termasuk keperluan bekerja dari rumah.

“Kami menyasarkan pembeli rumah kali pertama, keluarga muda, mereka yang ingin menaik taraf kediaman dan warga emas yang telah lama melihat Cheras sebagai kawasan kediaman pilihan.

“Kami menjangkakan harga jualan bermula daripada kira-kira RM650 per kaki persegi, paras yang dianggap berdaya saing mengambil kira faktor kepadatan rendah, status pegangan bebas dan lokasi strategik di tengah-tengah Cheras,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Pembangunan tersebut dijangka dilancarkan menjelang separuh pertama tahun 2022 untuk memberikan sumbangan positif kepada pendapatan Sunway bermula tahun depan dan dijangka siap pada tahun 2026.

Buat masa ini, Sunway memiliki bank tanah seluas 1,345 hektar dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM51.6 bilion untuk jangka masa pembangunan selama 15 tahun.

Menurut Cheah, pihaknya secara aktif mencari peluang strategik pada 2021, memandang­kan situasi pasaran hartanah yang sedikit perlahan ketika ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI