fbpx

Rasuah RM3 juta pembelian hotel, nasib Isa Samad diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISA Samad

KUALA LUMPUR – Nasib bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad yang menghadapi sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh FELDA Investment Corporation Sdn. Bhd. (FICSB) akan diketahui esok di Mahkamah Tinggi di sini.

Keputusan sama ada Mohd. Isa disabitkan dengan hukuman atau tidak akan diputuskan oleh Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang sebelum ini telah selesai mendengar semua keterangan saksi daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala Peguam Datuk Salehuddin Saidin mewakili Mohd. Isa.

Sebelum ini, lebih 300 muka surat hujahan bertulis telah diserahkan oleh pasukan pembelaan dan pendakwaan kepada mahkamah.

Pada 3 September tahun lalu, pihak pembelaan yang mewakili Mohd. Isa menutup kesnya selepas memanggil enam saksi.

Pada 16 Jun lalu, Mohd. Isa diperintah membela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah setelah pendakwaan berjaya membuktikan setiap unsur penting kesalahan menerima rasuah di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mohd. Isa, 71, berdepan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. Ikhwan Zaidel menerusi Muhammad Zahid Md Arip, bekas pegawai khas politik Mohd. Isa, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI