AKTRES popular Kajol berkongsi pengalamannya bergelar ibu usai menjayakan filem berjudul Tribhanga-Tedhi Medhi Crazy yang mengisahkan tentang kehidupan wanita.
Menurut Kajol, dirinya berdepan tekanan daripada masyarakat bagi memastikan dia menjadi seorang ibu yang baik untuk dua orang anaknya, Nysa dan Yug.
“Jika seseorang itu tidak memasak di rumah dan tidak mengambil anak pulang dari sekolah, kamu bukanlah ibu yang baik.
“Jika kamu tidak menghadiri mesyuarat ibu bapa di sekolah anak-anak, kamu juga bukan ibu yang baik,” katanya.
Kajol juga memberitahu, dia tidak percaya pada buku-buku yang mengajar seseorang menjadi ibu bapa yang baik.
Dia banyak mempelajari cara-cara untuk mendidik anaknya dengan mengikut cara ibunya, Tanuha Mukherjee yang membesarkannya sejak kecil selepas berpisah dengan suami.














