fbpx

Polis pantau individu kena kuarantin di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan (dua dari kiri) melakukan tinjauan di asrama pekerja yang dijaga rapi berikutan positif Covid-19 ketika membuat tinjauan di asrama pekerja Westlite di Pasir Gudang, Johor hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Polis Johor akan mempergiatkan usaha pemantauan pematuhan dalam kalangan individu yang menjalani kuarantin kendiri di rumah bagi membantu mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya masih menunggu data terkini daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan individu yang terlibat dalam kuarantin kendiri ini.

Katanya, bagi kluster pekerja industri yang terdiri daripada pekerja asing, aspek pematuhan berada di tahap terbaik dan teratur mengikut prosedur operasi standard (SOP) kerana mereka berada di kawasan penempatan khusus.

“Bagi kluster membabitkan pekerja industri sama ada yang positif Covid-19 atau kontak rapat, mereka ini mengikut SOP ditetapkan. Yang kita bimbang ialah mereka yang kuarantin di rumah, siapa yang akan pantau mereka?

“Petugas KKM mungkin ada kekangan (pemantauan), tapi kita ada pasukan pemantauan yang terdiri daripada unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk membuat pemeriksaan pastikan mereka betul-betul berada di rumah.

“Justeru, kita berharap akan memperoleh data daripada pihak KKM dalam kadar segara supaya dapat menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah individu yang menjalani kuarantin kendiri di negeri ini,” katanya selepas melakukan pemeriksaan mengejut di kawasan asrama pekerja asing di Taman Air Biru, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, polis Johor juga akan menggerakkan 500 pasukan pematuhan SOP Covid-19, mulai esok (Selasa) bagi melakukan pemeriksaan khususnya di rumah mereka yang diarah menjalani kuarantin kendiri dan asrama pekerja.

Katanya, jumlah itu adalah pertambahan daripada 241 pasukan pematuhan SOP sedia ada melibatkan kira-kira hampir 1,300 anggota dan pegawai polis di negeri ini.

Jelasnya, pemantauan ketat terhadap mereka perlu dilakukan susulan lonjakan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini khususnya dalam kalangan pekerja asing.

“Jadi, kita tambah keanggotaan lagi, menjadikan sehingga 500 pasukan mulai esok dengan setiap pasukan terdiri daripada tiga orang yang diketuai oleh seorang inspektor polis bagi tujuan mengeluarkan kompaun.

“Menerusi penambahan pasukan pemantauan membolehkan banyak lokasi boleh dicapai dalam penguatkuasaan SOP. Kita mahu pastikan yang mana sepatutnya diarah duduk rumah (kuarantin), memang kena duduk rumah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih 1,000 individu di negeri ini sudah dikompaun atas kesalahan melanggar SOP ditetapkan bulan lalu.

Tambah beliau, bilangan mereka yang dikompaun meningkat beberapa hari lalu dan tindakan itu bukan bermakna polis terlalu tegas tetapi bagi memastikan masyarakat patuh SOP kerana statistik kes positif terus meningkat.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI