fbpx

Pakai jubah curi 27 gelang emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Taktik seorang wanita yang memakai jubah setiap kali mencuri gelang emas di dua buah premis di Jalan Temenggong di sini sejak tiga tahun lalu terbongkar apabila kegiatan itu disedari pemilik kedai tersebut baru-baru ini.

Dalam tempoh tersebut, wanita berusia 25 tahun itu telah mencuri sebanyak 27 gelang emas yang dianggarkan bernilai RM180,000 di kedua-dua premis tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kejadian itu disedari oleh pemilik kedai emas yang berusia 33 tahun selepas mendapati seutas gelang tangan telah hilang selepas suspek keluar dari premisnya kira-kira pukul 6 petang pada 23 Januari lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat pemeriksaan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati wanita terbabit telah mencuri gelang itu.

Katanya, selepas kejadian itu, mangsa telah menghubungi suspek keesokan harinya supaya memulangkan kembali gelang tangan tersebut.

“Wanita itu kemudian datang kedai emas tersebut untuk memulangkan semula rantai tersebut. Suspek juga memberikan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada pemilik premis itu.

“Curiga dengan tindakan suspek, mangsa mengesyaki barang kemas yang hilang di premisnya sebelum ini juga telah dicuri oleh suspek yang menjadi pelanggan tetapnya pada tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Shafien, ini kerana, sebanyak 11 unit barang kemas bernilai RM60,000 hilang selepas suspek datang ke premisnya selepas mendapati wanita itu berpura-pura mencuba beberapa gelang emas sebelum keluar.

Katanya, selepas mendapat tahu kegiatan suspek, mangsa kemudian telah memeriksa CCTV di premis bersebelahan yang juga milik kakaknya sebelum mendapati sebanyak 16 gelang emas yang dianggarkan bernilai RM120,000 turut lesap dipercayai dicuri wanita terbabit.

“Pekerja kepada kedai emas itu turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Siasatan mendapati, suspek masih bujang dan merupakan pelanggan tetap di kedai kakak mangsa sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menurut Shafien, siasatan awal mendapati, suspek mencuri barang kemas di kedua-dua kedai ketika datang membeli emas di kedai berkenaan.

Katanya, kegiatan jahat itu dilakukan ketika pemilik kedai sedang leka melayan pelanggan sebelum suspek yang datang dengan memakai jubah telah memasukkan barang kemas ke bahagian lengan baju.

Ujarnya, suspek yang berasal dari Kota Bharu ditahan reman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI